KUALA LANGAT – Pengendali kenderaan perdagangan yang masih berdegil membawa lebih muatan akan dikenakan tindakan tegas termasuk pelucutan hak dan pembatalan lesen.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi selama tiga bulan itu bermula semalam sehingga 31 Disember ini bagi memastikan aspek pematuhan had muatan dipatuhi sewajarnya.
“Saya ingatkan pengendali kenderaan perdagangan di seluruh negara bahawa JPJ akan cari, memeriksa kesemua kenderaan perdagangan yang berada di atas jalan raya untuk tahan, keluarkan notis untuk timbang.
“Jika lebih berat muatan, kita akan ambil tindakan sama ada kompaun, saman atau kes ke mahkamah sehinggalah lucut hak dan pembatalan lesen pengendali syarikat tersebut,” katanya pada sidang akhbar sempena Ops Khas JPJ di Stesen Penguatkuasa Banting di sini hari ini.
Tegas beliau, perkara itu akan dilaksanakan JPJ bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menerusi penyaluran maklumat berkaitan kesalahan dilakukan kenderaan berat itu sehingga kes dibawa kepada mahkamah.
Tambah Aedy Fadly, pemeriksaan turut dilaksanakan ke atas semua kenderaan perdagangan lain termasuk bas persiaran dan ekspres.
“Kita mulakan hari ini juga (malam tadi) selepas beberapa jam diarahkan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook),” katanya.
Mengulas mengenai operasi dilakukan malam tadi, kata beliau, sebanyak 278 buah kenderaan telah diperiksa dalam operasi bermula pukul 8 malam tadi
“Tiga kenderaan iaitu sebuah lori dan dua kereta turut disita disebabkan tidak mempunyai insurans dan cukai jalan.
“Masing-masing sebanyak 25 kenderaan telah diarah periksa dan dikenakan notis larangan penggunaan kenderaan selain 23 kenderaan didapati tidak mempunyai peranti had laju (SLD),” katanya. – KOSMO! ONLINE