Pemuda koma di Hospital Krabi, keluarga mohon bantuan kewangan

8 hours ago 11

BUKIT KAYU HITAM – Seorang rakyat Malaysia berusia 21 tahun dilaporkan koma di Hospital Krabi, Thailand selepas motosikal yang dia tunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di negara jiran itu pada Rabu lalu.

Pemuda terbabit, Muhammad Hazim Rafiq Hussain mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan pada kepala, paru-paru bocor dan retak pada tulang bahagian pinggang.

Menurut abang mangsa, Muhammad Harith Rafie Hussain, 24, kejadian berlaku ketika adiknya bersama lima rakan berkonvoi ke Thailand pada Selasa lalu.

“Adik dan rakan-rakannya ke Thailand pada Selasa lalu sebelum terlibat dalam kemalangan keesokan harinya. Setakat ini, saya belum dimaklumkan tentang lokasi tepat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, keluarganya kini buntu apabila kos rawatan adiknya di hospital tersebut semakin meningkat dari hari ke hari.

“Sehingga semalam, saya dimaklumkan kos rawatan yang perlu dibayar adalah RM21,000. Kami amat bimbangkan keadaannya dan buntu memikirkan bagaimana nak cari wang sebanyak itu.

“Kos akan terus meningkat dan RM21,000 itu belum lagi termasuk kos pembedahan dan lain-lain memandangkan kecederaan dialami adik sangat serius,” ujarnya.

Dia turut memaklumkan bahawa pihak hospital sedang memantau perkembangan keadaan adiknya sama ada boleh dibawa pulang ke Malaysia untuk rawatan jika keadaannya stabil.

“Doktor memaklumkan adik perlu menjalani pembedahan pada bahagian muka yang turut cedera selain perlu ditebuk pada saluran pernafasan. Kos pembedahan itu pun belum tahu lagi,” jelasnya.

Menurutnya, adiknya hanya mengambil insurans wajib berharga RM55 yang dipercayai hanya menampung kos perubatan sekitar RM4,000 sahaja.

“Buat masa ini, kawan-kawan adik masih di sana (hospital) dan mereka mungkin terpaksa pulang ke Malaysia. Saya merancang untuk ke sana dalam masa terdekat ini,” katanya.

Tambahnya, ibu mereka yang tinggal di Seberang Jaya, Pulau Pinang sangat bimbangkan keadaan Muhammad Hazim Rafiq yang merupakan anak kedua daripada empat beradik dan bekerja di sebuah kilang di Bukit Minyak, Pulau Pinang.

“Saya sekeluarga amat mengharapkan bantuan orang ramai kerana kami buntu kos rawatan adik di hospital sana,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Muhammad Harith Rafie di talian 017-4742348. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |