Pembentangan RUU PSB pastikan pembangunan bandar secara terancang

2 months ago 42

IPOH – Pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) di Parlimen pada Mac 2025 adalah bagi memastikan pembangunan bandar dilakukan secara terancang mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak berwajib.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sekiranya tiada perubahan dilakukan ia dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak masalah terutamanya membabitkan kemudahan infrastruktur berlaku sekali gus mengganggu kehidupan rakyat.

“Kita mempunyai banyak bangunan lama yang dibina pada zaman sebelum kemerdekaan, selain berdepan masalah perparitan di kebanyakan tempat yang telah ketinggalan zaman.

“Jika perubahan tidak dilakukan melalui akta ini, masalah lebih serius akan berlaku dan kesannya akan mengganggu kehidupan rakyat kelak,” katanya kepada pemberita semasa melawat mangsa banjir di Arena Kepayang Putra, Fair Park di sini hari ini.

Mengulas tentang banjir di Arena Kepayang Putra, Kor Ming berkata, seramai 174 daripada 255 keluarga yang terjejas akibat bencana itu akan menerima bantuan kecemasan berjumlah RM174,000 dalam masa terdekat.

“Setiap keluarga akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 yang akan disalurkan secara terus ke akaun mereka melalui agensi berkaitan.

“Buat masa ini sebanyak 174 keluarga yang menerima bantuan itu merupakan mereka yang telah mengisi borang (bantuan). Saya minta supaya baki 81 keluarga yang belum berbuat demikian supaya mengisinya bagi memudahkan bantuan disalurkan dalam kadar segera,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai terutamanya mangsa banjir di Arena Kepayang Putra supaya bersiap sedia dan mengambil langkah berwaspada memandangkan hujan berterusan dijangka berlaku dari 8 hingga hingga 14 Disember depan.

“Dijangka akan berlaku gelombang kedua selepas ini dan saya harap penduduk ambil langkah berjaga-jaga serta pastikan barangan berharga disimpan di tempat yang selamat,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |