Pembantu kedai runcit dipenjara 11 bulan hina Raja Perlis

1 month ago 47

KANGAR – Seorang pembantu kedai runcit terpaksa meringkuk di penjara selama 11 bulan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghina Raja Perlis, dua tahun lalu.

Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Muhamad Basri Shah Rohani, 33, yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan bermula hari ini

Tertuduh pada 22 Jun 2022 dihukum penjara setahun dan denda RM5,000 atas kesalahan tersebut, malah sempat dipenjarakan selama sebulan sembilan hari sebelum membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Kangar.

Mahkamah Tinggi Kangar pada April tahun lalu kemudian menetapkan bahawa kes tersebut dibicarakan semula di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengeluarkan kenyataan menerusi akaun Facebook menggunakan nama Basri Shah dengan kata-kata menghasut di sebuah hotel, di sini kira-kira pukul 1.45 tengah hari, 22 Mac 2022.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Muhamad Asyraf Md. Kamal dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hadi Hakimi Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan.

Muhammad Hasif dalam rayuannya memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman berupa denda kepada tertuduh kerana ia adalah kesalahan pertama tertuduh.

Malah, Muhammad Hasif menyatakan tertuduh sudah insaf dan bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan selain turut membuat permohonan maaf kepada pihak istana.

Muhamad Asyraf walau bagaimanapun memohon mahkamah supaya memberikan hukuman berat sebagai pengajaran kerana ia membabitkan kepentingan awam yang menyentuh institusi agama negeri yang berada di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis.

Muhamad Asyraf juga menyebut kenyataaan tertuduh di Facebook terhadap raja pemerintah adalah sesuatu kenyataan menghasut, apatah lagi ditujukan kepada raja pemerintah selain tertuduh tidak memadam kenyataan tersebut walaupun sudah ada komen menasihatkan perbuatan tersebut tidak wajar. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |