BERA – Seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah berasrama di daerah ini mendakwa menjadi mangsa buli apabila dipaksa menari tarian ‘wadidaw’ yang tular di media sosial selain dicekik kerana berambut panjang.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, bapa mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu pada 13 April lalu.
“Siasatan awal mendapati, semasa kejadian berlaku, pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga telah dipanggil ‘roll call’ atas arahan warden asrama bagi tujuan pemeriksaan bilik oleh Persatuan Jabatan Penguasa Asrama (JPA).
“Namun suspek yang melibatkan lima pelajar telah mengambil alih ‘roll call’ dan bertindak membuli mangsa dengan memaksa mangsa menari ‘wadidaw’ iaitu tarian tular di media sosial,” katanya di sini hari ini.

Zulkiflee memberitahu, mangsa juga mendakwa telah dicekik di bahagian leher oleh suspek kerana berambut panjang.
Beliau berkata, permohonan untuk menjalankan siasatan telah dibuat pegawai penyiasat di Pejabat Pendakwa Raya dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Polis memandang serius kejadian buli di sekolah terutamanya melibatkan sekolah berasrama. Polis juga akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bera bagi membanteras gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE