Pelabuhan Klang sasar urus 15 juta TEUs kontena tahun ini

3 weeks ago 17

KLANG – Sebanyak 15 juta kontena bersamaan 20 kaki (TEUs) disasarkan dikendalikan di Pelabuhan Klang, tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sasaran peningkatan 2.3 peratus itu selepas berjaya mengendalikan 14.64 juta TEUs bersamaan 43 peratus kenaikan berbanding tahun 2023.

Katanya, ia menyumbang sekitar 47.7 peratus daripada 30.68 juta TEUs jumlah keseluruhan pengendalian kontena di negara ini.

“Ini adalah pencapaian tertinggi dan bersejarah di Pelabuhan Klang sejak pelabuhan memulakan operasi kontena pada tahun 1973.

“Sasaran ini disokong melalui pertumbuhan positif ekonomi domestik, pembangunan projek-projek infrastruktur dan pertumbuhan kargo melalui sektor pembuatan dan logistik serta dasar-dasar kerajaan yang lebih mesra perdagangan terutama sekali dalam sektor logistik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan meluncurkan Malaysia Maritime Single Window (MMSW) hari ini.

Anthony memberitahu, beliau difahamkan besar kemungkinan kedudukan Pelabuhan Klang di Liga Pelabuhan Kontena sedunia akan naik ke tempat ke-10.

“Walaupun ranking rasmi hanya akan diumumkan dalam beberapa bulan lagi, difahamkan pesaing lain seperti Rotterdam dan Hong Kong telah mengumumkan pengendalian kontena yang kurang daripada Pelabuhan Klang.

“Selain daripada Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas juga dijangka akan meningkat ke tempat ke-13 selepas mencatatkan pengendalian 12.2 juta TEUs pada tahun 2024,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan fasa dua projek pembesaran terminal kontena Westports Holdings Bhd, atau Westports 2 merupakan satu langkah penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai hab maritim dan logistik global pada masa depan.

Jelasnya, ia dapat menggandakan kapasiti pengendalian kontena Pelabuhan Klang kepada 34 juta TEU (berbanding 20 juta TEU yang sedia ada). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |