KUALA LUMPUR – Malaysia berpeluang membawa pulang dua gelaran pada Terbuka Taiwan apabila dua beregu utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dan Aaron Chia-Aaron Tai berjaya melangkah ke pentas final kejohanan yang berlangsung di Taipei Arena, hari ini.
Beregu wanita nombor satu negara, Pearly-Thinaah meneruskan aksi cemerlang apabila menewaskan pasangan Amerika Syarikat (AS), Francesca Corbett-Jennie Gai 21-15, 21-17 dalam tempoh 36 minit.
Kemenangan itu membolehkan pasangan ranking kelima dunia berkenaan mengekalkan rekod sempurna 3-0 ke atas Corbett-Gai, sekali gus mengesahkan kemaraan ke final dengan penuh bergaya.
Thinaah berkata, komunikasi yang baik dan keyakinan terhadap satu sama lain menjadi faktor utama kejayaan mereka mengatasi lawan pada aksi separuh akhir.
“Saya rasa itu adalah perkara yang sentiasa kami ingatkan antara satu sama lain, iaitu komunikasi dan keyakinan yang perlu dibina bagi setiap mata dan setiap rali.
“Masih ada beberapa aspek yang perlu kami perbaiki, tetapi ini adalah sesuatu yang positif untuk dibawa ke hadapan. Buat masa ini, kami hanya mahu makan, berehat dan pulih sebaik mungkin bagi menghadapi perlawanan akhir esok,” katanya dalam temu bual bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menurut Thinaah, kepercayaan terhadap kemampuan pasangan masing-masing turut membantu mereka mengekalkan rentak permainan sepanjang perlawanan.
Sementara itu, Pearly mengakui tahap kecergasannya masih belum pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan belakang, namun keadaannya semakin bertambah baik.
“Pergerakan kami di gelanggang, penggiliran posisi dan komunikasi ketika beraksi semakin baik. Namun, kami masih perlu meningkatkan prestasi dari hari ke hari kerana masih banyak perkara yang perlu diperbaiki bersama,” katanya.
Pada aksi final esok, Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan pertama bakal berdepan beregu Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi yang menghuni ranking ke-71 dunia.
Pertembungan itu akan menjadi pertemuan pertama kedua-dua pasangan dalam Jelajah Dunia BWF, dengan Pearly-Thinaah berpeluang memburu gelaran kedua musim ini selepas menjuarai Indonesia Masters pada Januari lalu.
Sementara itu, satu lagi wakil negara, Aaron-Tai turut memastikan tempat di pentas final selepas mencipta kebangkitan menewaskan pemain Taiwan, Chen Cheng Kuan-Liu Kuang Heng 24-26, 21-19, 21-16 dalam masa 61 minit.
Hasil kemenangan tersebut, beregu pilihan kelima tersebut akan berdepan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin. -KOSMO! ONLINE

8 hours ago
3
![[VIDEO] Ahmad Zahid serah tiga nama calon MB kepada Tuanku](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/AHMAD-ZAHID-ISTANA-HINGGAP.jpeg)







![[VIDEO] Tayar lori tercabut, melayang hempap kereta](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/TAYAR-LORI-TULAR-VIRAL.jpeg)








































