GOMBAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengemaskini dan memperkukuh strategi untuk membanteras penyeludupan dadah yang semakin licik, termasuk melalui pemantauan saluran baru dan peningkatan kawalan sempadan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, satu pasukan khas akan diwujudkan untuk memantau perniagaan pos, bungkusan dan penghantaran.
Beliau berkata, ini kerana banyak dadah dipercayai diseludup masuk dan keluar melalui saluran ini yang kurang pemantauan.
“Penyedia perkhidmatan perlu mempunyai mekanisme pemantauan sendiri, dan PDRM akan mengetatkan kawalan dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
“PDRM akan merobohkan jeti-jeti haram di Kelantan untuk menyukarkan pergerakan penyeludup dari negara jiran di utara,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, PDRM berhasrat untuk melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket dadah, yang dianggap sebagai langkah kritikal kerana melibatkan jumlah wang yang besar dan sukar dikesan.
“Ini penting untuk menghentikan pertumbuhan dan kelangsungan operasi sindiket. Penyeludupan dadah pada mulanya banyak berlaku di pantai timur. Namun, apabila kawalan diperketatkan di sana, sindiket mula beralih ke kawasan utara negara,” katanya
Tambahnya, sindiket sentiasa mencari ruang dan mengubah laluan dari darat melalui jalan tikus/gajah, kini beralih ke laut menggunakan bot nelayan atau bot lain apabila kawalan diketatkan di sesuatu kawasan.
Katanya, kumpulan yang digelar Kumpulan Pantai Timur itu telah aktif hampir setahun dan amat licik, namun akhirnya berjaya ditumpaskan selepas pemantauan rapi oleh JSJN.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif membawa masuk bekalan dari pantai timur ke pasaran Lembah Klang dengan rampasan dadah bernilai RM14 juta dalam tiga siri serbuan pada 13 dan 14 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE