‘Orang Penang tidak pernah menghampakan’

3 hours ago 2

GEORGE TOWN – Video tular memaparkan sekumpulan penunggang motosikal yang membonceng tiga kanak-kanak lelaki ketika motosikal ibu mereka mengalami kerosakan telah mengundang rasa sedih dan terharu dalam kalangan pengguna media sosial.

Kejadian di Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas, di sini itu dikatakan berlaku semasa wanita tersebut dalam perjalanan selepas mengambil anak-anaknya pulang dari sekolah yang terletak di Jalan Tengah.

Menerusi hantaran dan video yang dimuat naik di Facebook Penang Kini, kelihatan seorang lelaki memberhentikan motosikal sebaik terserempak dengan empat beranak di tepi laluan utama sebelum beberapa pengguna jalan lain turut sama menghulurkan bantuan membonceng kanak-kanak tersebut hingga ke sebuah bengkel yang terletak di Sungai Tiram.

“Dalam perjalanan pulang, nampak kakak ni tolak motosikal dengan berjalan di tepi jalan, risau dengan kereta banyak (balik kerja), jadi kita bantu mana yang boleh bantu.

“Bawakan anak dia pi (pergi) kedai motor terdekat. Kadang ujian Allah ni datang dengan banyak cara. Insya-Allah…mana boleh bantu kita bantu.

“Thanks (terima kasih) juga geng lori (baju oren) mai (datang) bantu juga mudahkan urusan,” tulisnya.

Dalam pada itu, rata-rata pengguna pengguna media sosial turut meninggalkan komen positif selain memuji tindakan sekumpulan pengguna motosikal terbabit.

“Terima kasih buat abang-abang yang tidak tinggalkan kaum ibu yang dalam kesempitan. Moga Allah membalas segala jasa,” komen Siti Aishah Abu Osman.

“Terima kasih orang-orang baik. Jarang saya komen dekat hantaran sesiapa, tapi kali ini betul-betul sebak tengok pertolongan daripada insan-insan berhati mulia. Alhamdulillah…semoga Allah permudahkan urusan kalian semua,” balas Nurul Najaha.

“Alhamdulillah…orang Penang tak pernah menghampakan. Saya pun pernah habis minyak ada brother (abang) ni nak pi market (pasar) dan patah balik. Terima kasih kerana mempunyai hati yang baik,” komen Cik Fiqa. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |