PETALING JAYA- MBSB telah mengumumkan pelantikan Datuk Seri Diraja Nur Julie Gwee Ariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDF Amanah Investment Bank Berhad yang baharu.
Nur Julie adalah jurubank berpengalaman dalam bidang pasaran hutang dan kewangan korporat.
Beliau menyertai MIDF Amanah Investment Bank sejak tahun 2012 sebagai Pengarah dalam Penasihat dan Penstrukturan Korporat dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pasaran Hutang seterusnya sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif sebelum dinaikkan pangkat sebagai CEO berkuatkuasa pada 1 Januari ini.
Pengerusi MIDF Amanah Investment Bank, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, pihaknya yakin dengan kepakaran dan pengalaman Nur Julie yang meluas, prestasi institusinya akan meningkat ke tahap yang lebih baik.
“Di bawah pimpinan beliau, Bank dijangka berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang baharu dan mengukuhkan kepimpinannya dalam ruang ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, Ketua Perbankan Borong di Kumpulan MBSB, Kuldeep Singh berkata, pihaknya sangat berbesar hati dan gembira dengan pelantikan Nur Julie sebagai CEO MIDF Amanah Investment Bank yang baharu.
Katanya, mereka yakin bahawa pelbagai anugerah dan pengiktirafan industri yang meluas yang telah Nur Julie terima dapat membuka peluang pertumbuhan baharu yang sekali gus dapat mengukuhkan kedudukan Bank dalam pasaran tempatan.
“Kami berhasrat untuk memanfaatkan sinergi di seluruh Kumpulan MBSB untuk menyampaikan penyelesaian tertumpu pelanggan bersepadu.
“Dengan rangkaian perkhidmatan perbankan pelaburan yang mantap termasuk tawaran hutang dan ekuiti, MIDF Amanah Investment Bank bersedia untuk meningkatkan kehadiran pasarannya dengan ketara,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya kekal komited untuk memberikan nilai yang luar biasa dan memberi impak yang bermakna untuk pelanggan dan pihak berkepentingannya. -KOSMO! ONLINE