KUALA LUMPUR – Pelakon baharu Zairi Aziz teruja menerima nasihat berharga daripada kakaknya yang juga pelakon senior, Nasha Aziz sebagai panduan dalam meniti kerjaya sebagai anak seni.
Menurut Zairi, 23, antara nasihat paling memberi kesan adalah supaya tidak terjebak dalam cinta lokasi demi menjaga nama dan kelangsungan kerjaya dalam industri seni.
“Dia tahu saya kini aktif sebagai pelakon. Kami sempat makan bersama dan dia berkongsi banyak nasihat, termasuk cara untuk kekal relevan dalam industri.
“Antara nasihat yang paling terkesan adalah supaya tidak terbabit dengan cinta lokasi.
“Saya berharap perkara itu tidak berlaku dan akan cuba sedaya upaya mengikut nasihatnya, insya-Allah,” katanya kepada Kosmo! Online, semalam.
Pelakon drama Anak-Anak Mafia itu memaklumkan pertemuan tersebut berlangsung ketika majlis tayangan filem The Voice Of Hind Rajab baru-baru ini, sekali gus menjadi pertemuan pertama mereka sejak dia mula aktif dalam bidang lakonan.
“Kami baru bertemu di majlis tayangan filem The Voice Of Hind Rajab dan itu juga kali pertama kami berjumpa sejak saya mula aktif dalam industri.
“Sebelum ini, saya tidak menghubunginya kerana berasa malu serta hormat sebagai ahli keluarga.
“Saya sangat gembira dapat bertemu dengannya kerana semua tahu dia pelakon legenda dan sangat hebat,” jelasnya lagi.
Selain itu, Zairi menyifatkan Nasha sebagai seorang yang ceria dan mudah mesra, berbeza dengan sifatnya yang agak pemalu.
“Dia seorang yang ceria, cuma saya ini memang pemalu. Namun selepas berbual, semuanya jadi okey.
“Sebagai seorang kakak, dia juga sangat baik,” kongsinya semasa sidang media drama baharu Viu berjudul Kelas Belakang.
Dalam drama terbitan Independent Pictures itu, Zairi diberi kepercayaan memegang watak utama sebagai Nik.
Drama arahan Nurhanisham Muhammad atau dikenali sebagai Labu mengangkat realiti pelajar yang ditempatkan di kelas tercorot yang sering dipandang remeh, dipinggirkan serta dinilai berdasarkan label bukannya potensi sebenar mereka.
Selain Zairi, Kelas Belakang menampilkan barisan pelakon muda seperti Amilya Aidura, Farihin Arnia, Areef Amran, Faha Azhar, Ryliana Azizan, Arfie Shah dan Myra Afrina. – KOSMO! ONLINE

22 hours ago
9

















































