Nampak dua budak main kejar-kejar hari Zayn Rayyan hilang

3 weeks ago 18

PETALING JAYA – Seorang penduduk yang tinggal di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini memberitahu dia ada melihat dua kelibat kanak-kanak bermain kejar-kejar pada waktu tengahari 5 Disember 2023.

Saksi pendakwaan ke-12 Siti Natrah Ismail, 68, berkata kelibat dua kanak-kanak lelaki itu dilihat ketika dia sedang menyidai kain di ampaian belakang rumahnya yang terletak dia aras paling bawah di Blok R apartment tersebut.

Kata saksi itu, salah seorang daripada dua kanak-kanak itu berbaju berwarna putih dan berseluar hitam sedang mengejar seorang lagi yang memakai baju sekolah dan juga berseluar hitam.

Bagaimanapun, saksi itu tidak pasti siapakah dua budak lelaki yang bermain kejar-kejar pada waktu tengahari itu.

“Semasa saya sedang sidai atau alih kain, saya ada dengar suara budak sekolah menjerit dan selepas itu saya terpandang seorang budak baju putih seluar hitam berlari-lari masa itu lebih kurang pukul 12 tengahari,” kata saksi itu yang telah menetap di apartment itu sejak 21 tahun yang lalu.

Pendakwa Raya: Puan dengar menjerit macam mana?
Saksi: Macam budak main kejar-kejar.
Pendakwa Raya: Puan dengar jerit berapa kali?
Saksi: Sekali sahaja
Pendakwa Raya: Puan nampak muka dia (dua budak) atau tidak?
Saksi: Saya tidak nampak.
Pendakwa Raya: Budak menjerit ini puan tahu atau tidak datang dari arah mana?
Saksi: Datang arah tangga menghala ke kebun belah kanan belakang rumah.
Pendakwa Raya: Berapa lama budak nombor dua kejar budak nombor satu
Saksi: Sekejap sahaja.

Mengulas lanjut ketika memberi keterangannya, saksi itu berkata dia kemudian tidak lagi melihat dua kelibat kanak-kanak tersebut selepas van sekolah sampai.

“Masa saya masuk rumah saya tidak nampak sesiapa dekat tangga, bermakna sudah naik van sekolah,” kata saksi itu lagi.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok dengan saksi kanak-kanak.

Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin, enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |