MSU kekal kedudukan institusi pendidikan tinggi terbaik dunia

1 day ago 7

PETALING JAYA – Management and Science University (MSU) terus memperkasakan kedudukan dalam kalangan institusi pendidikan tinggi terbaik dunia apabila melonjak 200 kedudukan iaitu #601-800 di seluruh dunia, berdasarkan ranking terkini Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026.

MSU dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan rekod pada 2025, institusi pengajian tinggi itu berada pada kedudukan #801-1,000 dunia.

Justeru pencapaian merangkumi penilaian ke atas 2,191 institusi dari 115 negara dan wilayah peningkatan ketara daripada jumlah institusi yang disenaraikan pada THE WUR 2025 iaitu 2,092 institusi.

“THE World University Rankings berpangkalan di United Kingdom menilai lima indikator utama iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Pandangan Antarabangsa (International Outlook).

“Lonjakan ranking MSU dalam THE WUR 2026 ini adalah selaras dengan kedudukan institusi tersebut dalam ranking THE Impact Ranking 2025 apabila disenaraikan pada kedudukan #101-200 dunia,” menurut MSU.

Secara keseluruhannya, 27 institusi pengajian tinggi di Malaysia disenaraikan dalam THE World University Ranking 2026 yang mana MSU berada pada kedudukan 10 terbaik secara keseluruhannya.

“Bagi indikator International Outlook pula menyaksikan MSU berada pada kedudukan ke-91 terbaik di dunia. Ini merupakan penanda aras kepada keberkesanan strategi pengantarbangsaan MSU.

“Melalui strategi pengantarabangsaan yang menyeluruh, MSU telah menjalinkan kerjasama pintar lebih 500 universiti dan institusi di seluruh dunia,” kata MSU.

Ia sekali gus membuka laluan kepada pelbagai bentuk mobiliti global, termasuk program pertukaran pelajar dan staf (inbound dan outbound), latihan industri dan penyelidikan bersama.

“Sehingga kini, komuniti pelajar antarabangsa MSU berasal dari 75 negara termasuk United Kingdom, Turkiye, China, Arab Saudi, Mesir, Indonesia, Sri Lanka, Brunei, Maldives, Oman, France, Yemen, Myanmar, Nigeria, Sudan, Botswana, India, Comoros, Iran, Libya dan lain-lain.

“Antara program mobiliti global ditawarkan di MSU ialah “Global Mobility Programme” (GMP), “Global Leadership Programme” (GLP) dan “Global Internship Programme” (GIP) yang mendapat sokongan universiti melalui Yayasan MSU menerusi pengenalan Scholarship for Mobility and International Learning Experiences (SMILE),” menurut kenyataan itu.

MSU turut memperkukuh jenama di peringkat global melalui kampus antarabangsanya di Bangalore (India), Colombo (Sri Lanka) dan Jakarta (Indonesia).

“Inisiatif ini bukan sahaja memperluas akses kepada peluang pendidikan rentas sempadan, malah memperkukuh reputasi MSU sebagai universiti global.

“Selain itu, pendekatan ‘industry talent embedded ecosystem’ diterapkan turut diintegrasikan dalam agenda pengantarabangsaan melalui kolaborasi strategik dengan lebih 3,000 rakan industri di dalam dan luar negara.

“Ini membolehkan pelajar MSU mendapat pengalaman global sebenar, bersedia untuk pasaran kerja antarabangsa dan memenuhi keperluan industri global yang dinamik,” kata MSU.

Selain aspek kerjasama pintar dengan rakan industri dan pengantarabangsaan, misi MSU dalam memperkasakan pembangunan modal insan turut merangkumi penekanan kepada aspek kebolehpasaran, keusahawanan, jalinan komuniti serta disokong oleh penyelidikan, pembelajaran sepanjang hayat serta pendidikan fleksibel.

Seiring hasrat Malaysia menjadi hab pendidikan antarabangsa, MSU kekal komited untuk membina jaringan global inklusif, inovatif dan berimpak tinggi serta merealisasikan aspirasi untuk melahirkan graduan bertaraf dunia yang mampu menjadi pemimpin di peringkat global. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |