Mohamad Halikhwan didakwa ragut rantai, gelang emas tujuh wanita

7 hours ago 4
MOHAMAD Halikhwan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tujuh pertuduhan meragut barang kemas milik beberapa mangsa sekitar Seremban sejak Mei 2024. Foto MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
  • Oleh NOR SHAFAWATI YUP
  • 15 Oktober 2025, 1:18 pm

SEREMBAN – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan meragut barang kemas milik beberapa mangsa wanita di sekitar Seremban sejak Mei 2024 hingga Ogos lalu.

Tertuduh, Mohamad Halikhwan Halbahri, 35, yang dilihat hadir ke mahkamah dengan tangan kirinya diikat kain anduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan selepas dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Difahamkan tertuduh cedera di tangan selepas motosikal yang digunakan untuk melakukan jenayah ragut terbabas sewaktu cuba melarikan diri dari pihak polis.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah meragut barang kemas iaitu rantai dan gelang tangan emas milik tujuh mangsa wanita berusia 24 hingga 67 tahun di beberapa lokasi berbeza sekitar Seremban pada 23 Mei 2024 hingga 26 Ogos lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan paling minimum kerana hanya membantu ibunya berniaga lemang sebelum ditahan dengan pendapatan RM500 sebulan, malah ibunya seorang ibu tunggal.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin keseluruhan RM45,000 bagi kesemua tujuh pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan dan tidak mengganggu saksi secara persendirian atau pihak ketiga.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 18 November depan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |