KUALA LUMPUR – Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia ke 20 (MIBS 2025) bakal menyediakan 500 reruai kepada syarikat tempatan dan juga antarabangsa untuk mempamerkan pelbagai jenama serta produk masing-masing.
Presiden Malaysia Promas International Business Society (Promas), Datuk Chong Chong Tik berkata, melihat kepada minat yang ditunjukkan oleh peserta dari luar negara, pameran ini bakal menjadi platform yang wajib dikunjungi oleh pembeli perdagangan profesional untuk mencari peluang perniagaan baharu, kerjasama strategik dan pandangan pasaran yang bernilai.
Menurut beliau, untuk edisi tahun ini yang akan berlangsung selama dua hari bermula 4 Disember ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), penganjur akan menampilkan pavilion antarabangsa dari beberapa wilayah di China termasuk Zhejiang, Guangxi, Shenzhen, Yunnan, dan Guangzhou.
Selain bakal disertai oleh peserta pameran dari Korea, Indonesia, Bangladesh, Thailand, Jepun dan beberapa negara lain.
“Lebih menarik, MIBS 2025 akan menampilkan Pavilion Ekspo Dunia Hakka yang bertujuan meraikan dan mempromosikan warisan budaya Hakka, hubungan perdagangan global, dan inovasi dalam keusahawanan Hakka.
“Pavilion khas ini akan menampilkan peserta pameran dan organisasi yang mewakili komuniti Hakka dari Malaysia, China dan seluruh dunia yang akan menyediakan platform unik untuk memperkukuh hubungan budaya dan menggalakkan kerjasama ekonomi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Acara ini dianjurkan bersama oleh Promas, Dewan Pembangunan ASEAN Malaysia China, Persekutuan Persatuan Tekstil, Barangan Am & Pakaian Malaysia dan Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM).
Ia juga telah mendapat pengiktirafan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Hakka Malaysia serta diuruskan oleh ES International Event Management Sdn Bhd.
Turut hadir pada sidang akhbar tersebut adalah Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor.
Chong Tik menjelaskan, sebagai platform perdagangan import dan eksport antarabangsa yang unggul, MIBS 2025 berperanan sebagai pintu masuk penting bagi peserta pameran tempatan dan antarabangsa untuk mengembangkan rangkaian perniagaan, meneroka pasaran global, dan meningkatkan kerjasama rentas sempadan.
Tambah beliau, melalui sesi padanan perniagaan, forum perdagangan dan peluang jaringan, peserta boleh memperoleh pandangan pasaran yang bernilai dan membina kerjasama jangka panjang.
MIBS 2025 terdiri daripada enam kategori utama iaitu produk penjagaan kesihatan dan kecantikan; peralatan pintar dan komoditi pintar; makanan dan minuman, budaya teh; pakaian fesyen, kain dan barangan kulit; barangan hiasan rumah dan juga segmen hadiah dan produk pengguna. -KOSMO! ONLINE