MENGIMBAS kembali memori pada zaman kanak-kanak, seorang lelaki dari Kampung Tersusun Sengat, Simpang Pulai, Ipoh, Perak mengakui, dia tidak mampu membeli walau sepasang kasut bola pada harga murah.
Bukan kerana dia tidak mendambakannya, tetapi lelaki ini sebenarnya datang daripada keluarga yang menghadapi kekangan kewangan.
Justeru, alternatif yang ada buat Arif Fitri Mursalim pada ketika itu adalah membeli but yang popular dengan panggilan kasut ‘kicap’ untuk dipakai mewakili pasukan bola sepak sekolah dan daerah.
“Harganya pada masa itu (sekitar awal tahun 2000) kira-kira RM10. Ia digelar kasut ‘kicap’ kerana warnanya hitam, tidak bercorak dan keras. Ini kerana, sebahagian besar but itu diperbuat daripada getah.
“Biarpun keras, namun tahan lama. Itulah juga kasut yang saya kongsi bersama rakan-rakan untuk bermain bola sepak dan ragbi sehingga terpilih mewakili daerah,” katanya sambil tersenyum mengimbau kisah lama.
Ujar usahawan gajet yang kini berusia 20-an itu, keluarganya bukanlah golongan berada kerana hanya mengusahakan kedai makan, selain menerima tempahan untuk majlis dan kenduri.
“Namun, sebaik sahaja berjaya melanjutkan pengajian di universiti dan mempunyai perniagaan sendiri, saya seperti ‘membalas dendam’ untuk memiliki kasut bola yang dihajati selama ini.
“Sebenarnya, saya secara serius menyimpan koleksi kasut bola sepak sejak lima tahun lalu. Ia bermula dengan tiga pasang kasut dan bertambah secara sedikit demi sedikit,” kata Arif Fitri kepada K-Remaja.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/12/ea6ac745-9eec-4deb-b24c-c9411eebd893dd.jpg)
Ujarnya, setakat ini, dia mempunyai 58 pasang kasut bola pelbagai jenama dan jenis dengan kos sekitar RM18,000 untuk membelinya.
“Semua 58 pasang kasut bola itu saya tidak jual kerana sayang, walaupun ada ramai yang ingin membelinya selepas memuat naik status dalam Facebook dan TikTok.
“Kata orang, ibarat ‘bakar line’ tetapi saya sendiri bertungkus lumus dan sanggup berlapar untuk menyimpan koleksi kasut bola edisi terhad serta ‘rare’ ini,” katanya yang membeli kasut bola menerusi Facebook, TikTok dan eBay.
Lelaki yang tenang dan mudah tersenyum itu memberitahu, koleksi kasut paling mahal dimilikinya setakat ini adalah model Umbro yang pernah dipakai oleh legenda England, Michael Owen.
“Michael Owen pernah beraksi bersama pasukan Manchester United yang merupakan kelab kegemaran saya, selain pernah menjadi kapten pasukan England.
“Saya bertuah kerana memiliki sepasang kasut ini dengan harga RM800. Saya difahamkan harga pasarannya ketika ini adalah RM3,000,” katanya.
Sementara itu, Arif Fitri memaklumkan, individu yang gemar menyimpan kasut bola biasanya akan membeli but edisi terhad untuk kejohanan berprestij seperti Piala Dunia, Euro, Piala Asia dan Piala Negara-Negara Afrika, selain Sukan Olimpik, Sukan Asia serta Sukan Komanwel.
Selain itu, dia memaklumkan, ada firma yang mengeluarkan but edisi khas kepada pemain terkenal dunia seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Kylian Mbappe dan David Gea.
“Saya turut memiliki sepasang kasut Adidas F30 TRX HG yang biasanya dipakai oleh Messi, but Joma bernilai RM900 serta pelbagai jenama lain.
“Saya tidak akan sesekali memakai but bernilai lebih RM500 untuk bermain bola bersama rakan-rakan sama ada di padang rumput biasa, sintetik atau gelanggang futsal.
“Hal ini kerana tiga pasang kasut bola saya yang bernilai tinggi telah dicuri.
“Rasa menyesal pula, jadi saya akan pakai kasut yang biasa-biasa sahaja sekarang.
“Setakat ini, saya tidak pernah pernah menjual kasut bola kepada orang lain termasuk keluarga dan kenalan rapat,” katanya.
Kebanyakan kasut dimilikinya adalah jenis ‘first hand’ dan mempunyai ‘sijil lahir’ iaitu pelekat khas yang membuktikan ketulenannya.
Bercerita mengenai penjagaan but, lelaki yang meminati pasukan England dan Portugal itu berkata, kasut-kasutnya disimpan mengikut suhu bilik serta sentiasa dipasang spring untuk mengekalkan strukturnya.
“Kasut ini perlu dipakai selalu, jika tidak ia akan rosak. Kasut ini juga perlu dibersihkan dan disimpan dalam kotak khas,” ujarnya sebelum menutup bicara.