MCMC laksana siasatan awam cadangan Standard Mandatori daftar pengguna prabayar

6 hours ago 2

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan siasatan awam berhubung cadangan penentuan suruhanjaya bagi Standard Mandatori untuk pendaftaran pengguna perkhidmatan selular awam prabayar.

Menurut MCMC, pelaksanaannya dibuat selaras dengan Seksyen 55 dan 61 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) bagi memastikan ia dilakukan secara telus dan bertanggungjawab.

“Langkah ini memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan mengemukakan pandangan serta maklum balas terhadap piawaian yang dicadangkan, seterusnya membantu MCMC menilai kesesuaian dan keberkesanannya sebelum standard tersebut dimuktamadkan.

“Standard Mandatori yang dicadangkan akan menggantikan Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Prabayar 2017 bagi memperkukuh integriti proses pendaftaran pengguna melalui pengenalan mekanisme keselamatan baharu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Di bawah peraturan baharu yang dicadangkan, MCMC katanya akan mempunyai kuasa mengeluarkan arahan dan bertindak bukan sahaja terhadap penyedia perkhidmatan, tetapi juga terhadap pengedar yang terlibat dalam proses pendaftaran pengguna akhir prabayar.

“Langkah ini memastikan akauntabiliti merentasi keseluruhan rantaian pendaftaran, iaitu pengedar turut tertakluk kepada obligasi di bawah Seksyen 51 AKM 1998, bagi mengurangkan risiko salah laku yang boleh menjejaskan perlindungan pengguna.

“Selain itu, peraturan yang disemak semula turut memperkenalkan perlindungan tambahan bagi pengguna bawah umur. Individu berumur 12 hingga 17 tahun diwajibkan menjalani proses pendaftaran melalui ibu bapa atau penjaga sah,” tambah kenyataan sama.

MCMC menjelaskan, cadangan standard itu juga memperkenalkan had baharu terhadap jumlah kad sim yang boleh didaftarkan atas nama seorang individu.

“Tidak kira sama ada warga Malaysia atau warga asing, ia sebagai langkah membendung penyalahgunaan kad sim yang berterusan.

“MCMC mengalu-alukan penyertaan aktif daripada semua pihak berkepentingan bagi memastikan standard yang dibangunkan adalah menyeluruh, praktikal serta sejajar dengan keperluan semasa industri telekomunikasi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |