Maut Korea: ‘Arwah tidak pernah lokek bantu orang’

3 hours ago 1

RAWANG – “Waktu saya susah, dia yang tolong. Pernah juga dia bagi saya pinjam duit untuk belanja sebab gaji saya tak masuk lagi ketika bekerja di Korea Selatan.”

Itu antara kenangan Muhammad Jalalludin Othman, 35, terhadap sahabat baiknya, Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut selepas ditikam dalam kejadian di Korea Selatan, Ahad lalu.

Muhammad Jalaludin berkata, sifat pemurah Allahyarham tidak pernah berubah sejak mereka mula mengenali lain ketika bekerja di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur pada 2017.

Menurutnya, dia mengajak Ahmad Shah bekerja di Korea Selatan selepas mengetahui arwah pernah bekerja di negara itu sebelum ini.

“Sebelum saya pergi dengan dia, dia dah pernah ke Korea. Lepas dia balik, saya ajak dia pergi semula dan kami terus beli tiket.

“Saya hanya berada di sana kira-kira tiga bulan sebelum pulang ke Malaysia, tetapi arwah memilih untuk terus bekerja di sana,” katanya ketika ditemui di Masjid Bandar Tasik Puteri di sini, malam ini.

Muhammad Jalaludin berkata, mereka kembali bertemu di Korea Selatan pada tahun 2024 apabila dia sekali lagi ke negara itu bersama isterinya untuk bekerja.

“Saya kemudian balik ke Malaysia sebab kecemasan keluarga apabila ayah sakit. Lepas itu kami hanya berhubung menerusi mesej. Barang saya pun masih ada di rumah dia sebab dia kata nak balik nanti,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Muhammad Jalaludin berkata, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang peramah, ringan tulang dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira sama ada sudah lama atau baru dikenali.

“Bukan saya seorang yang dia tolong. Ramai lagi. Sebab itu ramai orang kenal dia. Kalau ada orang Malaysia baru datang, dia akan bantu.

“Dia juga sering menjadi tempat rujukan rakyat Malaysia di Korea kerana fasih berbahasa Korea dan tahu selok-belok kehidupan di sana,” katanya.

Dalam pada itu, isteri Muhammad Jalaludin yang juga rakan baik arwah, Julaina Jafri, 36, berkata, Ahmad Shah seorang yang sentiasa berniat baik dan tidak pernah mencetuskan pergaduhan.

“Arwah memang bukan kaki gaduh atau kaki pukul. Saya percaya Allah permudahkan segala urusan arwah kerana sepanjang hidupnya dia juga sentiasa mempermudahkan urusan orang lain,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia maut dalam kejadian di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara.

Mangsa berusia 26 tahun itu dilaporkan meninggal dunia selepas ditikam dalam kejadian ketika dipercayai cuba membantu rakan yang diserang sekumpulan individu.

Susulan kejadian itu, polis Korea Selatan menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |