‘Mat rempit’ pura-pura jadi pelanggan, elak dicekup

1 month ago 29

KUALA LUMPUR – Kegiatan sekumpulan ‘mat rempit’ yang menjadikan Jalan Semarak, di sini sebagai litar lumba haram membawa padah apabila digempur pihak polis dalam operasi besar-besaran, awal pagi tadi.

Operasi yang bermula pada pukul 2 pagi itu menyaksikan ratusan samseng jalanan menguji jentera yang dinaiki mereka sebelum dikejutkan dengan kehadiran sepasukan polis yang mengepung lokasi tersebut.

Wartawan Kosmo! yang mengikuti serbuan menyaksikan pelbagai helah digunakan samseng jalanan untuk mengelak daripada ditahan.

Sebilangan mereka cuba menyembunyikan motosikal dengan meletakkannya di kawasan kedai makan sebelum berpura-pura seakan pelanggan.

Selain itu, ada juga yang menunggang motosikal secara lawan arus untuk meloloskan diri, namun gagal apabila kesemua lorong telah dikepung pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd. Isa berkata, operasi yang tamat pada pukul 5 pagi itu berakhir dengan pemeriksaan sebanyak 147 motosikal.

Katanya, kesalahan tertinggi dicatatkan adalah berkaitan nombor pendaftaran sebanyak 27 saman diikuti tiada lesen (26), tidak pamer stiker L/P (21), tiada cermin sisi (tujuh), tiada brek (satu) dan lesen tamat tempoh (tiga).

Op Samseng Jalanan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

“Tumpuan operasi adalah kepada samseng jalanan yang masih berlegar di kawasan pusat bandar walaupun sambutan ambang tahun baharu telah berakhir.

“Pemeriksaan awal mendapati kebanyakan motosikal yang ditahan diubah suai secara tidak sah, termasuk tiada brek, ekzos yang diubah suai, serta pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan, di sini, awal pagi tadi.

Jelas beliau, terdapat beberapa lokasi utama kini dalam pemerhatian pihaknya berhubung aktiviti samseng jalanan termasuk di Jalan Tun Razak, Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (DUKE), serta Jalan Semarak.

“Sebelum ini, kami kerap menjalankan operasi di Jalan Tun Razak, tetapi mereka kini beralih ke Jalan Semarak,” katanya.

Kata beliau, pihaknya turut terkesan terdapat individu yang mengikuti aktiviti samseng jalanan membuat siaran langsung di platform media sosial seolah-olah mempromosikan kegiatan itu.

Tegas Zamzury, pasukan beliau akan ‘memanfaatkan’ tindakan pelaku itu dan segera meninjau lokasi yang dipaparkan untuk menahan kesemua yang terlibat.

Justeru itu, beliau menyeru kesemua remaja agar tidak melibatkan diri daripada terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini. –  KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |