KUALA LUMPUR – Juara baharu Asia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal mengetuai skuad badminton negara yang akan menggalas cabaran pada saingan Piala Sudirman di Xiamen, China bermula 27 April hingga 4 Mei depan.
Turut berada dalam senarai ke kejohanan berpasukan campuran itu adalah gandingan No.2 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta pasangan No.7 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Pasukan negara dijangka tidak berdepan masalah dalam acara beregu lelaki memandangkan ketiga-tiga pasangan yang dibawa boleh dianggap memiliki pengalaman luas selain berada dalam kelompok 10 teratas dunia.
Bagi acara perseorangan lelaki, Malaysia terpaksa melupakan khidmat pemain profesional, Lee Zii Jia yang perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan selepas mendapat perlindungan ranking daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Justeru, tanggungjawab dalam sektor itu digalas dua bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao dan Justin Hoh dengan masing-masing menghuni ranking ke-26 dan 48 dunia.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mengumumkan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah bakal memikul tanggungjawab dalam acara itu bersama gandingan Go Pei Kee-Carmen Ting.
Kehadiran Pei Kee mungkin mampu menghasilkan elemen-elemen kejutan memandangkan dia juga memiliki pengalaman beraksi dalam acara beregu campuran.
Dalam pada itu, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei turut disenaraikan ke Xiamen walaupun baru sahaja dipisahkan hujung bulan lalu selepas kedua-dua pemain itu dilaporkan sudah tidak sebulu.
Beregu No.3 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan pasangan No.14 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin akan bersama-sama Tang Jie-Ee Wei menggalas cabaran negara dalam acara beregu campuran.
Sementara itu, skuad negara turut memanggil pemain profesional, Goh Jin Wei berdasarkan statusnya sebagai perseorangan wanita terbaik negara ketika ini di ranking ke-48 dunia bersama K. Letshanaa (No.56).
Kesemuan pemain itu dijangka melaporkan diri untuk menyertai kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara yang dijadualkan bermula esok sebagai persiapan awal.
Sebagai rekod, Malaysia dijangka tidak berdepan laluan sukar untuk melangkah ke pusingan kalah mati selepas diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara tiga kali, Jepun, Australia dan Perancis. – KOSMO! ONLINE