Main dan menang! Toshiba sambut 95 tahun tawar hadiah RM30,000

6 days ago 12

KUALA LUMPUR – Jenama teknologi terkemuka dunia, Toshiba meraikan ulang tahun ke-95 penubuhannya dengan menyediakan permainan dalam talian eksklusif yang menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai sehingga RM30,000, tanpa sebarang pembelian diperlukan.

Inisiatif itu dilancarkan seiring dengan Pameran Imersif Ulang Tahun ke-95 Toshiba yang berlangsung selama tiga hari di Pavilion Bukit Jalil, di sini bermula hari ini hingga 12 Oktober.

Pameran berkonsepkan warisan, inovasi serta gaya hidup moden itu membawa pengunjung menyelami dunia rekaan Jepun yang elegan dan praktikal.

Antara aktiviti lain yang menanti pengunjung termasuk bengkel bento kreatif, gubahan bunga segar, pembuatan teh berkonsepkan AI serta cabaran kutipan cop.

Pengarah Urusan Pemasaran dan Perkhidmatan Toshiba, Steven Yang berkata, ruang pameran disediakan membolehkan pengunjung merasai sendiri gabungan seni ketukangan Jepun dan teknologi moden yang menjadi identiti Toshiba sejak hampir satu abad lalu.

Steven (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi Harvey Norman, Jonathan Toh (kiri) bergambar ketika melawat reruai pada Pameran Imersif Seni Kehidupan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-95 Toshiba di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

Katanya, sambutan ulang tahun kali ini bukan sahaja memperingati sejarah panjang syarikat itu, tetapi juga simbol komitmen berterusan terhadap inovasi dan ketukangan Jepun yang asli.

“Kami mahu orang ramai melihat sendiri bagaimana teknologi dan reka bentuk boleh bergabung menjadi satu bentuk seni.

“Bagi Toshiba, gaya hidup pintar bukan hanya tentang kecekapan, tetapi bagaimana setiap butiran direka untuk memberi keselesaan dan keindahan kepada pengguna,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Steven, pameran ini turut memperkenalkan Siri Japandi Generasi Kedua, yang menggabungkan gaya minimalis Scandinavia yang menghasilkan rekaan moden ringkas, elegan dan efisien.

“Siri Japandi mencerminkan semangat Takumi, dedikasi seorang artisan Jepun dalam menyempurnakan setiap ciptaan dengan penuh teliti. Itulah falsafah yang kami pegang (Details Matter),” katanya.

Para pengunjung melawat reruai pada Pameran Imersif Seni Kehidupan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-95 Toshiba di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

Mengulas mengenai strategi untuk memastikan produkanya sentiasa menjadi pilihan, Steven berkata, Toshiba memilih untuk tidak terlibat dalam persaingan harga murah, sebaliknya menumpukan pada inovasi, kualiti dan pengalaman pengguna.

“Kami mahu menonjolkan nilai sebenar jenama Toshiba. Fokus kami adalah memberi pengalaman terbaik kepada pengguna melalui produk yang tahan lama, bergaya dan berinovasi,” ujarnya.

Jelasnya, antara produk popular Toshiba yang menjadi pilihan pengguna termasuk peti sejuk, mesin basuh dan penapis air, yang kini semakin mendapat sambutan di Malaysia.

Beliau menambah, Toshiba juga tidak ketinggalan dalam menyokong gaya hidup hijau dengan menghasilkan produk yang menjimatkan tenaga dan air.

“Kami mahu produk Toshiba bukan sahaja canggih, tetapi juga mesra alam. Ia sebahagian daripada tanggungjawab kami terhadap masa depan,” katanya.

Dengan 95 tahun pengalaman dan kepercayaan pengguna di seluruh dunia, Steven yakin Toshiba akan kekal sebagai peneraju dalam dunia teknologi dan gaya hidup moden. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |