POKOK SENA – “Dahulunya saya bekerja kedai makan tetapi oleh kerana ingin hidup mewah seperti kawan-kawan sebaya, saya sanggup ikut mereka melakukan aktiviti tidak bermoral itu. Cukuplah sekali dipenjara, saya ingin mulakan hidup baharu.”
Demikian luah seorang ibu muda berusia 21 tahun yang terpaksa menjalani hukuman penjara enam bulan setelah ditahan polis ketika melakukan aktiviti persundalan beberapa bulan lepas.
Menurut ibu tunggal kepada seorang anak dari Padang Besar, Perlis itu. dia ingin memulakan hidup baharu di samping anak perempuannya yang berusia empat tahun.
“Saya insaf dan menyesal kerana sanggup melakukan aktiviti tersebut semata-mata kerana wang.
“Saya teruja apabila melihat kawan-kawan hidup mewah dan boleh berbelanja apa sahaja kerana melakukan perbuatan itu sehingga sanggup membelakangkan agama.
“Cukuplah empat bulan terpisah dengan anak dan keluarga. Walaupun saya dipenjara enam bulan namun ia cukup menginsafkan. Dalam penjara saya belajar agama dan berusaha baiki diri sebagai seorang muslim,” katanya.
Wanita tersebut adalah salah seorang daripada 39 banduan yang dilepaskan sempena Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) Sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2025 di Penjara Pokok Sena di sini hari ini yang disempurnakan oleh Pengarah Penjara Kedah, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Charin Promwichit.
Bercerita lanjut kata wanita itu, dia ditahan pada Julai lepas ketika melakukan aktiviti persundalan tersebut di Padang Besar.
“Kawan-kawan yang lain bebas saya sahaja yang kena tangkap, inilah balasan untuk saya dan mungkin juga Tuhan sayangkan saya dan ingin saya kembali ke pangkal jalan secepat mungkin.
“Saya berharap selepas tempoh pelepasan ini tamat saya dapat mencari kerja dan menjaga anak saya dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE