Mahkamah benar keluarga Altantuya mula semakan kehakiman afidavit Azilah

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman supaya polis supaya polis menyiasat afidavit tambahan yang dibuat oleh seorang bekas pegawai polis yang terlibat dalam kes pembunuhan model Mongolia itu.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian selepas Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan memaklumkan mahkamah bahawa Peguam Negara (AG) tidak membantah permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman terbabit.

“Mahkamah menetapkan 31 Oktober ini untuk pengurusan kes,” kata Hakim Aliza.

Semasa prosiding, turut hadir ialah peguam Sangeet Kaur Deo yang bertindak bagi pihak keluarga Altantuya.

Pada Ogos lalu, dalam satu kenyataan yang dibuat pihak peguam yang mewakili Altantuya, mereka memohon perintah untuk memaksa polis menyiasat kandungan afidavit tambahan Azilah Hadri bertarikh 24 September 2024.

Permohonan tersebut difailkan oleh bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev di Pejabat Pendaftaran Sivil, Mahkamah Tinggi di sini.

Shaariibuu menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden-responden.

Dalam permohonan itu, Shaariibuu menyatakan, polis tidak memaklumkan kepada beliau status siasatan terkini yang dijalankan pada 2019 oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman terhadap kandungan afidavit tambahan Azilah yang juga bekas pegawai Unit Tindakan Khas.

Ujar bapa mendiang, keputusan polis bertindak demikian adalah bertentangan dengan undang-undang dan tindakan itu memungkiri kewajipan berjaga-jaga dan tidak mengikut prosedur.

Menurut permohonan tersebut, jika siasatan terhadap afidavit tambahan itu masih berjalan, warga asing itu memohon perintah mandamus agar siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah.

Selain itu, Shaariibuu selaku pemohon turut mahukan perintah mandamus supaya polis memaklumkan secara terperinci status terkini siasaran yang dijalankan oleh Bukit Aman (responden kedua) terhadap afidavit Azilah dalam tempoh tujuh hari.

Ujarnya, jika polis memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai `no further action’, pemohon mahukan alasan mengapa tindakan itu diambil. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |