‘Luka Adam makin baik, lebam ‘biru hitam’ kat mata tinggal sikit’

1 day ago 6

SHAH ALAM – Berdepan kecederaan fizikal termasuk luka-luka badan dan lebam pada wajah susulan perlawanan sukan tempur Fury Redemption, situasi pelakon Adam Lee kini semakin pulih.

Perkara tersebut dimaklumkan isterinya juga pelakon Sweet Qismina meluahkan rasa lega apabila keadaan suaminya yang menerima tujuh jahitan susulan perlawanan tersebut menunjukkan peningkatan ketara.

Ujar Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 27, proses pemulihan Adam berjalan lancar dan memberi kelegaan besar buat dirinya sekeluarga.

“Alhamdulillah, luka Adam semakin baik. Kalau perasan, benang jahitan pada lukanya pun sudah mula luruh dan kawasan luka tidak lagi merah.

“Malah, kesan lebam ‘biru hitam’ di bahagian matanya tinggal sedikit sahaja. Sekarang memang dalam fasa pemulihan sangat baik,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pun begitu, pelakon filem Babah itu tidak menafikan kecederaan tersebut turut menjejaskan jadual kerja suaminya apabila penggambaran terpaksa ditangguhkan demi memastikan kesihatan Adam benar-benar stabil.

“Sepatutnya pada 8 Jan ni kami ke Sarawak untuk penggambaran lapan episod bersama TV Sarawak.

“Namun pihak produksi menganjakkan jadual ke bulan November supaya Adam pulih sepenuhnya sebelum kembali bekerja,” ujarnya ketika ditemui pada konsert suku akhir, Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), di sini, kelmarin.

Paling penting kata Sweet, rutin pemakanan cinta hatinya itu kini lebih teratur bagi mengembalikan berat badan asal selepas susut ketara demi memenuhi syarat kategori perlawanan sebelum ini.

“Berat Adam turun sehingga 71 kilogram (kg) semata-mata untuk bertarung. Sekarang, dalam masa empat hari sahaja, berat sudah naik sekitar empat ke lima kg.

“Mana tidaknya, saya beri dia makan daging setiap hari. Berat sekarang sekitar 75 ke 76 kilogram.

“Dia juga mula aktif semula dengan berjoging dan bermain pickleball setiap malam sebab risau berat naik mendadak kalau tak bersukan,” dedahnya.

Terdahulu, Adam menegaskan penglibatannya dalam sukan tempur bertujuan membuka mata rumah produksi tempatan bahawa industri seni masih memiliki pelakon berkeupayaan membawakan watak aksi.

Bagaimanapun, Adam gagal membawa pulang gelaran juara apabila tumbang di atas gelanggang selepas tewas kepada pelakon Alif Muhaimin menerusi kiraan Technical Knockout (TKO). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |