Liga Super: JDT menang besar di Darul Aman

3 days ago 8

ALOR SETAR – Jaringan hatrik Bergson Da Silva membantu JDT membenam Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 6-1 di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Seawal minit pertama, JDT sudah melaungkan amaran awal buat Sang Kenari apabila hantaran lolos dilakukan Heberty Fernandes, tepat menemui Bergson untuk penyerang kelahiran Brazil itu berdepan satu sama satu dengan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Peluang itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan Bergson setelah Ifwat lebih pantas mara ke arahnya untuk menutup segala ruang, sekali gus menepis percubaan dilakukan penyerang kelahiran Brazil tersebut.

Meskipun pasukan tuan rumah cuba beberapa kali membuat ancaman balas, gerakan dilakukan JDT nyata terlalu ampuh untuk dikekang. Harimau Selatan akhirnya mendapatkan gol pertama pada minit ke-16 menerusi Bergson yang berjaya memperdaya Ifwat, sebaik dia menerima hantaran jauh dari rakan di bahagian pertahanan kiri, Park Jun Heong.

Hanya seminit berselang, JDT kemudiannya berjaya menjadikan kedudukan 2-0. Bermula dengan hantaran serupa dilakukan Jun Heong kepada Bergson, penyerang prolifik itu melakukan ‘back heel’ untuk membuka ruang kepada penyerang naturalisasi kebangsaan, Romel Morales melakukan jaringan.

JDT kemudiannya memperolehi gol ketiga pada minit ke-22 menerusi sepakan penalti diambil Bergson. Sepakan penalti itu diberikan pengadil, Nazmi Nasaruddin kepada JDT setelah pertahanan kanan KDA FC, Wan Amirul Afiq menjatuhkan Oscar Arribas ketika dia cuba mengekang pergerakan pemain sayap dari Sepanyol itu.

Meskipun ‘dibedil’ bertubi-tubi, KDA FC nyata tidak berputus asa. Hantaran jauh dilakukan kapten, Akmal Zahir membuka ruang kepada Afeeq Iqmal Rosli untuk melepasi perangkap ofsaid JDT pada minit ke-33, sebelum pemain sayap itu memperdaya Syihan dalam kedudukan satu sama satu untuk gol pertama tuan rumah.

Memasuki babak kedua, momentum permainan JDT seakan bermula agak perlahan. Keadaan itu bagaimanapun tidak menghalang mereka daripada menghasilkan gol keempat melalui Jordi Amat pada minit ke-60, yang melakukan tandukan sebaik menerima bola sepakan sudut Heberty Fernandes.

Malah pada minit ke-77, jaguh dari selatan tanah air itu hampir mendapatkan gol kelima namun rembatan dilakukan Oscar Arribas dari luar kotak penalti sekadar singgah di palang ketika Ifwat sudah pun tertewas.

Gol kelima dicari JDT akhirnya tiba jua pada minit ke-52 apabila rembatan dari luar kotak penalti dilakukan pemain gantian, Nazmi Faiz Mansor terkena Wan Amirul Afiq menyebabkan bola membias dan meleret memasuki gawang.

JDT kemudiannya memuktamadkan keputusan perlawanan 6-1 setelah Bergson menyempurnakan hat trick, sekali lagi menerusi sepakan penalti setelah pemain naturalisasi negara, Muhamadou Sumareh dikasari Aiman Farhan Fauzi pada masa masa tambahan perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |