PEKAN – Seorang lelaki dalam perjalanan ke surau ditemukan maut akibat dipatuk ular tedung selar berhampiran rumahnya di Kampung Pelak, dekat sini, malam semalam.
Mangsa, Zainal Azharuddin Zainal Abidin, 52, ditemui tertiarap di luar rumah berdekatan sebuah kereta oleh kakaknya kira-kira 12 jam selepas kejadian.
Menurut adik mangsa, Zainal Amri, 50, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam, ketika abangnya keluar menaiki kereta untuk menunaikan solat maghrib di Surau Kampung Tanjung Chempaka yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.
“Arwah sempat keluar dari kereta dan dipercayai ternampak seekor ular lalu berpatah balik mengambil sebatang buluh dari dalam kenderaan. Namun, ketika berpaling, arwah dipatuk pada betis dan rebah tidak jauh dari keretanya,” katanya.
Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh singkat akibat patukan ular berbisa itu tanpa disedari orang ramai.
Menurut Zainal Amri lagi, kawasan sekitar merupakan kebun kelapa dan sawit milik penduduk yang dikenal pasti sebagai habitat pelbagai jenis ular termasuk ular berbisa.
Kejadian hanya disedari awal pagi tadi apabila kakak mangsa, Zainol Aluyah Zainal Abidin, 58, menyedari ketiadaan arwah di dalam bilik sewaktu mahu mengejutkannya untuk solat subuh.
“Kakak saya terkejut apabila mendapati arwah tiada di rumah. Dia kemudian keluar mencarinya dan ternampak kereta arwah berhampiran surau. Bila dihampiri, dia sangat terkejut melihat mayat adik terbujur di tepi kereta, kakinya dihurung semut dan terdapat kesan gigitan ular,” jelasnya.
Allahyarham yang masih bujang tinggal bersama kakaknya dan sering ke masjid atau surau berdekatan terutama pada waktu malam.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian akibat patukan ular berbisa.
Jenazah Allahyarham Zainal Azharuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelak sebelum solat zuhur hari ini. – KOSMO! ONLINE