Lebuh raya sesak, sungai terancam

3 hours ago 2

BENTONG – Kemalangan jalan raya khususnya di lebuh raya pada musim perayaan menjadi ancaman senyap kepada pencemaran sumber air di Selangor.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Haslina Amer berkata, sisa tumpahan akibat kemalangan seperti minyak, bahan kimia dan bahan berbahaya berpotensi memasuki alur sungai, sekali gus meningkatkan risiko pencemaran kepada Loji Rawatan Air (LRA) berhampiran.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah spesifik kes pencemaran air yang berpunca daripada kemalangan sepanjang tahun ini.

“Kebiasaannya, kes pencemaran air di Selangor banyak berpunca daripada sisa tumpahan akibat kemalangan, terutamanya ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan trafik.

“Namun, pemantauan 24 jam oleh Skuad Elit Air LUAS (SKEAL) banyak membantu dalam mengawal serta mencegah insiden pencemaran daripada merebak,” katanya ketika ditemui pemberita pada program sesi libat urus jaringan bersama pengamal media di Genting Highlands, di sini.

Menurut Haslina, musim perayaan turut menyaksikan peningkatan risiko pelepasan efluen dari kawasan perindustrian, namun perkara itu dikawal menerusi pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP).

Beliau berkata, sebanyak 96 aduan pencemaran air dan sungai direkodkan sepanjang tahun ini dengan 68 daripadanya telah diambil tindakan penguatkuasaan setakat kelmarin.

“Daripada jumlah itu, 28 kes pencemaran sumber air yang berpotensi menjejaskan operasi LRA,” jelasnya.

Tambah beliau, 30 kertas siasatan telah dibuka dan sembilan kompaun bernilai RM2 juta dikeluarkan bagi kes pencemaran yang disiasat.

“Secara keseluruhan, sebanyak 124 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai keseluruhan RM4.87 juta dalam tempoh 11 bulan tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Haslina memaklumkan Lembangan Sungai Langat dikenal pasti sebagai kawasan paling berisiko, merangkumi kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan kes pencemaran yang direkodkan susulan pembangunan pesat di kawasan Kajang dan Semenyih. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |