PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS atau Kumpulan), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, mengadakan Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baru Cina 2025 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur semalam.
Majlis diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis yang melambangkan tradisi LBS di dalam memupuk perpaduan dan kesyukuran, turut diserikan dengan kehadiran para kenamaan termasuk Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk (Dr.) Johari bin Abdul, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, dan timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Antara dif-dif jemputan yang hadir termasuk pemegang taruh utama, seperti pemegang saham Kumpulan, rakan perniagaan, dan rakan media.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Datuk Sri Ir (Dr) Lim Hock San, menekankan hubungan erat yang telah terjalin sejak sekian lama di antara LBS dan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, yang bermula sejak zaman ayahanda Baginda Tuanku.
Beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga LBS atas sokongan berterusan dan komitmen mereka dalam memperkasakan syarikat.
“Sumbangan anda amat penting dalam kejayaan yang kita capai bersama. Kami akan terus menyediakan penyelesaian perumahan inovatif sambil mengekalkan nilai teras yang menjadi tunjang kekuatan LBS,” katanya.
Selain meraikan kemeriahan musim perayaan, LBS turut memperkenalkan Strategi 8 x 8, sebuah inisiatif yang menekankan komitmen Kumpulan untuk melancarkan rangkaian projek dengan jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sekitar RM8 bilion.
Strategi ini bertujuan mengukuhkan kedudukan LBS sebagai salah satu peneraju utama dalam industri perumahan.
Matlamat ini dipacu oleh lapan fokus utama yang merangkumi perumahan, industri dan komersial, pengoptimuman bank tanah, usaha mencapai kecemerlangan, pemerkasaan pekerja, pengalaman pelanggan, kemajuan kelestarian dan kesejahteraan komuniti
Strategi 8×8 memberi tumpuan kepada meningkatkan kecekapan operasi, memperluaskan jangkauan pasaran, serta mengadaptasi teknologi pembinaan termaju bagi memenuhi keperluan perumahan negara yang semakin berkembang.
Inisiatif ini akan terus memperkukuh kedudukan LBS sebagai peneraju pasaran serta menyediakan kestabilan untuk pertumbuhan mampan dalam tahun-tahun mendatang.
“Hari ini, kita berkumpul untuk meraikan perayaan yang penuh bermakna ini, dengan harapan berterusan untuk masa depan.
“Strategi 8×8 merupakan lakaran perancangan LBS dalam merealisasikan aspirasi sebagai peneraju utama dalam industri perumahan, serta mengekalkan komitmen teguh dalam menyediakan penyelesaian perumahan berkualiti tinggi dan mampu milik,” ujar Tan Sri Lim.
Majlis tersebut diakhiri dengan ucapan dengan penuh harapan untuk kesejahteraan, dipenuhi dengan kemakmuran serta kejayaan untuk semua.
Komitmen LBS terhadap rakyat serta negara kekal teguh, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. -KOSMO! ONLINE