LONDON – Pelumba muda New Zealand, Liam Lawson mengakui kini lebih bersedia untuk menghadapi tekanan Formula Satu (F1) selepas melalui musim penuh pertamanya yang disifatkan sebagai satu ‘perang mental’ berpanjangan.
Pelumba Racing Bulls berusia 23 tahun itu berkata, cabaran terbesar dihadapinya pada musim 2025 bukan sahaja soal prestasi di litar, sebaliknya tuntutan emosi dan mental akibat jadual perlumbaan terlalu padat.
Lawson mengakui bergelut menyesuaikan diri dengan tempo F1, khususnya perlumbaan berturut-turut, sekali gus mengehadkan masa persediaan dan pemulihan antara satu Grand Prix (GP) ke satu yang lain.
“Perbezaan terbesar F1 berbanding kategori lain adalah masa antara perlumbaan. Ada masa kita rasa sudah sangat bersedia, tetapi tiba hujung minggu, tiba-tiba sudah masuk kelayakan walaupun mungkin sesi latihan tidak berjalan dengan baik,” jelasnya.
Menurut Lawson, situasi menjadi lebih mencabar ketika melalui siri ‘triple-header’ apabila pelumba perlu segera melupakan satu perlumbaan dan terus menyesuaikan diri dengan aksi seterusnya.
“Awak cuba belajar daripada apa yang berlaku pada satu hujung minggu, tetapi sangat cepat, terutamanya dalam triple-header, awak sudah berada di perlumbaan seterusnya,” katanya.
Jelasnya, aspek paling sukar adalah menguruskan emosi apabila prestasi berubah-ubah, daripada hujung minggu cemerlang kepada perlumbaan yang mengecewakan.
Lawson yang menamatkan musim lalu dalam kempen 24 perlumbaan penuh dramatik, turut mendedahkan tekanan bertambah apabila dia bukan sahaja memburu keputusan tetapi juga masa depan kariernya.
Bagaimanapun, Lawson percaya pengalaman tersebut menjadikannya lebih matang dan lebih bersedia untuk memasuki musim kedua dalam F1 bersama Racing Bulls selepas diberi kontrak baharu. – AGENSI

1 day ago
4

















































