SHAH ALAM – Pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) yang melalui Persimpangan Eco Grandeur akan mula membayar tol apabila kutipan di Plaza Tol Eco Grandeur bermula tengah malam ini.
Ia adalah selaras terma perjanjian konsesi serta memastikan operasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan lebuh raya dapat diteruskan secara mampan.
Pelaksanaan kutipan tol itu dibuat selepas pengguna menikmati pengecualian bayaran selama lebih lapan bulan sejak persimpangan tersebut dibuka pada 11 November tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi Latar, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, kutipan tol itu merupakan sebahagian pengoperasian rasmi Plaza Tol Eco Grandeur yang memberi manfaat besar kepada pengguna.
Katanya, ini antaranya menyokong pertumbuhan pembangunan di koridor utara Selangor dengan menyediakan hubungan lebih cekap antara kawasan perindustrian, komersial dan perumahan di kawasan sekitar sejak dibuka tahun lalu.
“Pembukaan Persimpangan Eco Grandeur meningkatkan tahap kebolehcapaian serta memudahkan pergerakan pengguna khususnya penduduk dan komuniti perniagaan di sekitar Eco Grandeur, Eco Business Park V, Puncak Alam, Ijok dan Kuala Selangor.
“Selepas tempoh pengecualian bayaran tol selama lebih lapan bulan, kutipan tol kini dilaksanakan mengikut kadar yang diluluskan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kadar tol yang dikenakan adalah RM1.15 bagi kenderaan Kelas 1, RM2.30 (Kelas 2), RM3.45 (Kelas 3), RM0.57 (Kelas 4) untuk teksi dan Kelas 5 bagi bas ialah RM1.15.
Plaza Tol Eco Grandeur dilengkapi 10 lorong membabitkan lima lorong bagi setiap arah yang menyediakan pelbagai kaedah pembayaran termasuk Touch ‘n Go, SmartTAG, RFID, kad debit dan kad kredit bagi memastikan proses transaksi berjalan lancar dan efisien,” jelasnya.
Kosmo! pada November 2025 melaporkan laluan sejauh 3.07 kilometer menghubungkan Lebuh Raya Latar dan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash) dan diikuti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
5
















































