PETALING JAYA – Pengarah dan pelakon Liyana Jasmay meminta pengkritik filem tidak melemparkan kritikan melampau sehingga boleh menjatuhkan mana-mana karya tempatan.
Menurut Liyana, 37, kritikan atau ulasan boleh dilemparkan namun dengan cara yang tepat dan bukannya menghentam sehingga meranapkan keinginan rakyat Malaysia untuk menyokong filem tanah air.
“Saya harap pengkritik filem mengkritik dengan lebih berhemah kerana itu memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk pergi menonton.
“Mungkin mereka tidak suka tetapi ada orang lain okey sahaja dengan filem tersebut.
“Orang Malaysia sebenarnya suka filem lokal cuma mereka adakalanya terkesan dengan reviu pengulas filem,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Ujar Liyana yang juga pengarah filem Cikgu VS Hantu, dia percaya reviu filem dalam mana-mana platform terutama media sosial mampu membina satu kepercayaan mengenai sesebuah naskhah.
“Kepada yang reviu filem, ulaslah baik-baik sebab bila guna perkataan tak baik, orang akan terus terikut.
“Sentiasa beri peluang dan ada kredibiliti, kemudian biarkan penonton buat keputusan. Takut sebab kita, orang tak mahu pergi tonton di pawagam.
“Sebenarnya kalau jadi pengulas filem, kena ada ilmu dan sijil kelayakan. Kalau tiada, komen akan jadi terlalu ekstrem,” katanya lagi.
Tambahnya, kritikan melampau sehingga menjejaskan jumlah penonton juga boleh memberi impak negatif terhadap penggiat seni dan pekerja belakang tabir.
“Industri kita kecil sahaja, kalau boleh nak semua dapat untung. Kalau industri kita ranap, ramai yang akan terjejas.
“Kalau semua untung, pasti ada lebih banyak lagi filem tempatan yang bagus akan dihasilkan.
“Jadi, jangan percaya buta-buta sahaja apa yang orang komen dalam TikTok ataupun YouTube. Nak beri komen pun, fikir dahulu,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE