AKTIVITI konvoi sering kali dikaitkan dengan lelaki berpakaian hitam, jaket kulit dan deruman enjin yang membelah jalan raya.
Namun, tanggapan itu jauh berbeza menerusi The Distinguished Gentleman’s Ride (DGR) apabila ribuan penunggang tampil segak berbaju sut demi satu misi besar kebajikan yang berlangsung di lebih 100 negara di dunia.
Di sebalik penampilan kemas lengkap dengan sut, tali leher dan topi fedora, ribuan penunggang sebenarnya berkongsi satu matlamat iaitu meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan lelaki.
Acara tahunan itu menghimpunkan peminat motosikal klasik dari seluruh dunia bagi mengumpul dana untuk penyelidikan kanser prostat serta program kesihatan mental lelaki menerusi kerjasama dengan Movember.
Menurut penganjur program, Mark Hawwa, idea itu tercetus selepas beliau melihat imej watak Don Draper dalam siri televisyen Mad Men menunggang motosikal klasik sambil mengenakan sut.
“Saya telah memulakan acara seperti ini di Sydney, Australia pada 2012. Dari situ, saya mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap penunggang motosikal.
“Selain itu, saya juga mahu mewujudkan platform untuk membincangkan isu kesihatan lelaki yang sering dipandang sepi seperti kanser prostat, sokongan kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri.
PENAMPILAN unik para peserta konvoi yang mengenakan sut atau tali leher.“Setiap tahun, komuniti DGR sentiasa melakar pencapaian yang lebih baik, bukan sahaja dari segi jumlah penyertaan, tetapi juga semangat dan keprihatinan ahlinya. Komuniti inilah yang menyelamatkan nyawa,” katanya.
Tahun ini, lebih 123,000 penunggang menyertai DGR menerusi 1,071 acara konvoi di 109 negara, sekali gus menjadikannya antara edisi terbesar sejak diperkenalkan.
Setiap konvoi DGR mempunyai laluan tersendiri mengikut bandar penganjuran dengan peserta menunggang motosikal klasik secara santai melalui jalan utama sebelum berkumpul di lokasi akhir bagi sesi ramah mesra dan aktiviti kebajikan.
Acara itu turut mendapat penyertaan dari Malaysia apabila komuniti penunggang tempatan menyertai konvoi DGR 2026 di beberapa bandar termasuk Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Sehingga kini, DGR berkembang daripada satu konvoi kecil kepada gerakan global dan berjaya mengumpulkan lebih AS$66 juta (lebih RM280 juta) bagi menyokong penyelidikan kanser prostat dan program kesihatan mental lelaki.
Pada edisi 2026 sahaja, penganjuran yang berlangsung pada Mei lalu berjaya mengumpul lebih AS$7.5 juta (kira-kira RM32 juta).
KONVOI tersebut memerlukan para peserta menunggang motosikal klasik.Sementara itu, salah seorang peserta yang juga merupakan wartawan automotif, Mark Vaughn mendedahkan beliau disahkan menghidap kanser prostat hanya beberapa hari selepas mendaftar untuk acara tersebut.
Pengalaman itu mendorongnya menggesa lebih ramai lelaki menyertai konvoi tersebut bagi meningkatkan kesedaran tentang penyakit itu serta menjalani pemeriksaan kesihatan lebih awal.
“Jalani ujian PSA (Prostate-Spesific Antigent). Ia hanya ujian darah yang mudah. Pengesanan awal menjadikan penyakit ini lebih mudah dirawat dan mempunyai peluang pemulihan yang tinggi.
“Bersama-sama, kita sedang membina satu gerakan yang menyelamatkan nyawa serta mengingatkan masyarakat di seluruh dunia bahawa kesihatan lelaki perlu diberi perhatian di mana jua,” katanya.

15 hours ago
6












![[VIDEO] Ahmad Zahid serah tiga nama calon MB kepada Tuanku](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/AHMAD-ZAHID-ISTANA-HINGGAP.jpeg)



































