Kontraktor, anak saudara tidak mengaku bunuh Sabari

1 day ago 6

ALOR SETAR – Seorang kontraktor dan anak saudaranya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, pada September tahun lalu

Tertuduh, Mazuan Hanafi, 39, dan Muhd. Asyraf Idris, 27, pekerja kilang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Kedua-dua mereka yang memakai baju T warna putih dan diwakili peguam, T. Jayaraj dilihat tenang dalam kandang tertuduh.

Dua anak kepada Allahyarham Sabari iaitu Dr. Suraiya Izzaty, 30, dan Muhammad Amir Hakimi, 26, serta abang Sabari, Ismail, 70, bersama beberapa lagi ahli keluarga hadir pada prosiding tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mazuan dan Muhd. Asyraf didakwa secara bersama membunuh Sabari di titi Kampung Empa di Sungai Padang Terap di daerah Kubang Pasu, dekat sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 4 September 2024.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliza Md. Zain.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula kes pada 15 Jun depan.

Sementara itu, Dr. Suraiya ketika di luar kamar mahkamah berkata, dia sebak ketika mengikuti prosiding tersebut dan berharap proses perbicaraan kes pembunuhan bapanya berjalan dengan lancar.

“Mereka (dua suspek) mengaku tidak bersalah, saya harap semuanya lancar dan ada keadilan buat ayah,” katanya sedih.

Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra atas pertuduhan membunuh Sabari pada 17 Oktober tahun lalu dan tiada pengakuan direkodkan daripada mereka sebelum mahkamah sama membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Mac lalu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kedua-dua suspek ditahan polis pada 27 September tahun lalu bagi membantu siasatan kes kehilangan Sabari yang dilaporkan hilang sejak awal September tahun lalu.

Kehilangan itu dianggap misteri kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, dekat sini namun pesara Felcra itu tiada.

Kedua-dua suspek kemudiannya mengaku telah mencampak warga emas itu ke Sungai Padang Terap, Jitra dalam keadaan tangan mangsa diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Gerakan mencari jasad mangsa seterusnya dilakukan bermula 30 September tahun lalu, namun ditamatkan tiga hari kemudian selepas gagal ditemui. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |