Kesan darah dalam bilik sah milik Zayn Rayyan – Pegawai Penyiasat

5 hours ago 2

PETALING JAYA – Pegawai Penyiasat Kanan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa kesan darah di bilik rumah Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin di Blok R, Apartment Damansara Damai di sini milik kanak-kanak autistik itu.

Asisten Superitendan Mohd. Hafizee Ismail, 38, mengesahkan perkara itu ketika ditanya hakim berhubung darah dalam bilik di rumah tersebut.

“Darah dalam tandas adalah B1 (Zaim Ikhwan Zahari), darah dalam bilik adalah si mati (Zayn Rayyan).

“Keputusan laporan kimia ini dikeluarkan ahli kimia yang mana darah si mati berpadanan dengan spesimen tulang sternum berlabel ‘Zayn Rayyan’,” kata saksi pendakwaan ke-28 itu ketika pemeriksaan asid deoksiribonukleik (DNA) berhubung darah dalam bilik tersebut.

Semalam, Mahkamah Sesyen diberitahu, terdapat kesan darah dalam bilik dan tandas rumah Zayn Rayyan.

Mohd. Hafizee memaklumkan dapatan itu diperoleh menerusi proses mendapatkan tindak balas kesan darah (luminol) yang dilakukan di rumah tersebut semasa siasatan dilakukan pada 9 Disember 2023.

Saksi itu mengesahkan darah dalam tandas adalah milik tertuduh B1 sebagaimana dalam laporan kimia, namun tidak menjelaskan secara terperinci pemilik darah yang dikesan dalam bilik rumah berkenaan.

Menjawab soalan pendakwaan mengapa nama si mati iaitu ‘Zayn Rayyan Bin Abdul Matin’, tetapi dalam sijil kelahiran berbeza dengan nama bapa Zaim Ikhwan Zahari, Mohd. Hafizee memaklumkan beliau ada menjalankan siasatan mengenai perkara itu.

“Hasil siasatan saya mendapati tertuduh pertama, Zaim Ikhwan dan tertuduh kedua, Ismanira berkahwin di Narathiwat, Thailand sekitar Jun 2016 dan terlewat mendaftar perkahwinan di Malaysia.

“Oleh demikian, si mati ‘berbinkan’ atas 99 nama Allah,” kata saksi itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |