Kerajaan perpaduan masih utuh – Anwar

1 hour ago 1

PETALING JAYA – Kerajaan perpaduan masih kekal utuh meskipun timbul pelbagai spekulasi dan pandangan berhubung kedudukan politik semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini tiada maklumat rasmi diterima berkaitan sebarang isu serius yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan.

“Itu belum serius, saya belum dapat maklumat lagi. Itu keputusan masing-masing,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Taman Dato’ Harun, di sini hari ini.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk terus memberi tumpuan kepada usaha pemulihan dan pengukuhan ekonomi serta membela nasib rakyat sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.

“Yang penting sekarang, kerajaan perpaduan masih utuh dan semua telah memberikan ikrar masing-masing untuk menumpukan perhatian kepada urusan ekonomi dan pembelaan nasib rakyat,” ujarnya.

Mengulas mengenai perbezaan pandangan atau kecenderungan individu dalam kalangan ahli politik, beliau menegaskan perkara tersebut bukan tanggungjawab kerajaan untuk campur tangan.

“Soal orang ada keinginan atau kecenderungan masing-masing, soal berpecah atau bercerai-berai, itu bukan masalah saya dan bukan masalah kerajaan perpaduan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat tanpa terkesan dengan isu peribadi atau pendirian individu tertentu.

“Kerajaan akan terus bekerja dan melaksanakan tugas. Perkara lain itu adalah urusan mereka,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Pas menyambut baik cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh untuk mewujudkan semula Muafakat Nasional (MN) jika UMNO mengisytiharkan keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau sangat setuju dengan cadangan menghidupkan semula MN yang dilontarkan Dr. Akmal. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |