KUANTAN – Kerajaan negeri akan memberikan bantuan sewajarnya kepada peniaga belon yang kini sedang dirawat di hospital selepas terlibat dalam pergelutan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau telah meminta Unit Perantau Anak Pahang melihat dan memberi bantuan sewajarnya sesuai dengan keperluan individu terbabit.
“Saya mengambil maklum bahawa individu yang terlibat dalam insiden melibatkan penjaja belon dan penguat kuasa DBKL baru-baru ini merupakan anak kelahiran negeri Pahang.
“Terima kasih kepada puan Norsafinaz dan puan Razaira Rashid daripada UMNO Bahagian Jerantut yang mewakili saya serta menyampaikan sumbangan peribadi kepada abang belon.
“Dalam masa sama titah ke Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang agar penjaja dan Pihak Berkuasa Tempatan harus memahami tanggungjawab masing-masing wajar kita hayati dan fahami agar insiden seperti ini dapat dielakkan di masa akan datang,” katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, beliau difahamkan kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan adalah wajar tindakan seterusnya bergantung kepada laporan daripada pihak berkuasa.
Beliau berharap semoga kehadiran Syawal yang sedang dinantikan akan membawa kejernihan kepada semua pihak berkenaan isu tersebut.
Sebelum ini tular dalam media sosial video memaparkan pergelutan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL dalam kejadian di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).
Video tersebut bukan sahaja mendapat pelbagai reaksi daripada orang awam malah mencuri perhatian golongan menteri dan pemimpin parti politik.
DBKL dalam kenyataannya berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu berlaku, anggota penguat kuasa DBKL yang melakukan rondaan berkala melihat kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR.
Katanya, anggota penguat kuasa DBKL telah memberi teguran dan kebanyakan penjaja tanpa lesen memberikan kerjasama dengan beredar dari kawasan tersebut, namun ia tidak berlaku kepada peniaga belon berkenaan. – KOSMO! ONLINE