KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mewartakan lima batang sungai di negeri ini sebagai lokasi untuk rakyat yang memiliki lesen bagi menjalankan kegiatan mendulang emas secara sah.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Datuk Nik Raisnan Daud berkata, kawasan tersebut melibatkan Sungai Tadoh dan Pergau di daerah Jeli, Sungai Galas (Gua Musang), Sungai Gentiang (Kuala Krai) dan Sungai Bertam (Tanah Merah).
Menurutnya, kelima-lima sungai itu merupakan lokasi yang dibenarkan untuk rakyat menjalankan kegiatan mendulang emas bagi fasa pertama.
“Setakat ini, PTG menerima sebanyak 332 permohonan lesen sejak kerajaan negeri membuat pengumuman mengenai kebenaran mendulang emas kepada rakyat Kelantan pada bulan lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 110 permohonan yang lengkap dengan pembayaran sebanyak RM100 sudah diproses manakala selebihnya masih dalam proses tapisan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Raisnan memberitahu, rakyat yang diberi kebenaran untuk mendulang emas perlu sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan semasa mendulang emas di kawasan sungai.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri menetapkan syarat pengeluaran lesen untuk mendulang emas dikeluarkan pada Januari 2026 hanya diberikan kepada rakyat Kelantan sahaja.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kebenaran itu selaras dengan Seksyen 28 Enakmen Mineral 2001 iaitu kerajaan negeri menetapkan emas yang diperoleh hanya boleh dijual kepada pembeli yang diiktiraf kerajaan negeri sahaja.
Menurutnya, sehubungan itu, permohonan untuk mendapatkan mendulang lesen itu boleh dibuat melalui PTG negeri atau jajahan bermula Januari.
“Bayaran sebanyak RM100 ditetapkan kepada rakyat Kelantan untuk mendapatkan lesen mendulang emas. Setiap rakyat Kelantan hanya boleh mohon satu lesen sahaja dan ia tidak boleh dipindah milik kepada individu lain.
“Waktu mendulang emas pula bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang dan tidak dibenarkan menjalankan aktiviti itu semasa musim tengkujuh. Kerja-kerja mendulang hanya boleh dijalankan di tanah milik kerajaan yang akan diwartakan kelak,” katanya.
Mohd. Fadzli memberitahu, kawasan yang dikenal pasti mempunyai emas di Kelantan antaranya di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli.
Menurutnya, selain itu penggunaan mesin mudah alih tidak dibenarkan. – KOSMO! ONLINE

22 hours ago
8

















































