Kebajikan 113 pelarian terus dipantau

1 hour ago 3

KUALA LUMPUR – Seramai 113 pelarian termasuk 110 warga Rohingya kini ditempatkan sementara di Dataran Wira, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas dipindahkan dari hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Kesemua mereka akan berada di bawah jagaan sementara pihak berkuasa sehingga UNHCR menyediakan lokasi penempatan yang lebih sesuai.

Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati kumpulan pelarian itu yang terdiri daripada lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi ditempatkan di kawasan berbumbung bersama barangan peribadi masing-masing.

Golongan wanita dilihat berada bersama anak-anak, manakala kumpulan lelaki ditempatkan secara berasingan bagi memastikan keadaan lebih teratur dan terkawal.

Sepanjang berada di lokasi berkenaan, kebajikan mereka terus diberi perhatian apabila pihak polis menyediakan keperluan asas termasuk makanan lima kali sehari, air mineral dan susu.

Pada masa sama, pasukan paramedik daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut ditempatkan di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berterusan serta memberikan rawatan segera kepada mana-mana pelarian yang memerlukan.

Tinjauan turut mendapati beberapa wanita menangis dan meraung sebaik menyedari kehadiran pengamal media di kawasan penempatan sementara itu.

Difahamkan, IPK Kuala Lumpur bertindak sebagai pemudah cara dalam menguruskan kebajikan serta keselamatan kumpulan berkenaan sementara menunggu urusan penempatan semula oleh UNHCR.

Terdahulu media melaporkan, kesemua pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di IPK Kuala Lumpur didapati memiliki dokumen yang sah dikeluarkan oleh UNHCR.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, polis telah memindahkan seramai 113 pelarian ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama wakil pejabat UNCHR pada pukul 8.50 malam, semalam.

Jumlah itu terdiri daripada seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.

Selain itu, seramai 110 pelarian Rohingya turut dipindahkan, melibatkan 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |