Karakter catur dalam helaian fesyen futuristik

19 hours ago 6

BUKAN sekadar permainan strategi, papan catur menyimpan pelbagai simbol mengenai kuasa, kedudukan dan karakter yang tersendiri.

Elemen itu menjadi sumber inspirasi buat pereka muda, Muhammad Qayyum Abbasy Muhammad Fadhli untuk diterjemahkan menerusi koleksi fesyen berkonsepkan gabungan sejarah dan masa depan.

Lebih dikenali dalam dunia fesyen sebagai Abbashi, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu memilih catur sebagai titik permulaan dalam menghasilkan koleksi yang sarat dengan nilai simbolik.

Menurut Abbashi, meskipun dia bukan seorang pemain catur tegar, karakter setiap buah catur membuatkan dia tertarik untuk menyelami sejarah di sebalik permainan berkenaan.

“Saya sebenarnya suka catur, tetapi tidak pernah bermain. Disebabkan itu saya mula mencari asal-usulnya dan mendapati imej awal catur berbeza daripada apa yang kita lihat hari ini.

“Catur dahulu mempunyai kaitan dengan zaman pertengahan yang menggambarkan struktur organisasi ketika itu. Setiap buah mempunyai karakter tersendiri seperti raja, permaisuri dan kesatria,” katanya kepada CitaRasa.

Berbekalkan kajian tersebut, Abbashi mengolah elemen klasik itu menjadi rekaan fesyen moden menerusi konsep dualiti antara sejarah dan modenisme.

SYILING satu sen lama digunakan sebagai perincian pada skirt permaisuri catur.

Bagi koleksi berkenaan, dia memilih tiga buah utama iaitu raja, permaisuri dan kesatria sebagai inspirasi sebelum mengadaptasikan ciri ukiran serta simbol setiap buah catur ke dalam rekaan pakaian.

Antara tarikan utama koleksi itu ialah penggunaan bahan luar biasa seperti syiling lama dan pembuka tin minuman yang diolah menjadi aksesori.

Bagi karakter permaisuri, Abbashi menggunakan syiling satu sen Malaysia lama yang diperoleh daripada koleksi keluarga sebagai perincian hiasan pada skirt.

Sementara itu, elemen kesatria dan raja pula diterjemahkan menerusi rekaan perisai dada serta aksesori kepala menggunakan bahagian pembuka tin minuman.

“Saya memang ada banyak syiling lama daripada keluarga. Saya fikir daripada disimpan begitu sahaja, lebih baik saya bereksperimen dan jadikan ia sebahagian daripada rekaan.

“Syiling itu perlu digerudi untuk hasilkan lubang, kemudian digilap supaya tidak tajam sebelum disambung menggunakan gelang kecil.

BAHAGIAN paling mencabar ialah proses quilting kerana memerlukan beberapa lapisan kain bagi hasilkan motif yang tepat.

“Untuk pembuka tin pula, saya mengambil bahagian pembukanya dan mencantumkannya satu per satu menggunakan gelang kecil sehingga membentuk replika perisai,” jelasnya.

Selain penggunaan bahan unik, koleksi itu turut menonjolkan aspek kemahiran tangan menerusi teknik seperti quilting, patchwork dan jahitan tangan.

Katanya, bahagian paling mencabar ialah proses quilting kerana memerlukan beberapa lapisan kain bagi hasilkan motif yang tepat.

Menurutnya, setiap motif dilukis secara bebas sebelum dipindahkan ke atas kain, malah sebarang kesilapan boleh menjejaskan keseluruhan rekaan kerana memerlukan ketelitian yang tinggi.

Menariknya, walaupun tampil dengan siluet besar dan dramatik terutama pada bahagian lengan, koleksi tersebut masih mempunyai elemen sedia dipakai (ready-to-wear).

Salah satu rekaan terdiri daripada empat bahagian iaitu jaket luar, bahagian lengan besar, kemeja crop top serta mini skirt yang boleh digayakan secara berasingan.

Bagi Abbashi, bentuk besar pada pakaian bukan sekadar estetika, sebaliknya membawa simbol perlindungan yang diinspirasikan daripada peranan buah catur. 

Read Entire Article
Pertanian | | | |