PETALING JAYA – Ibu bapa yang mahu membawa anak kecil menyertai aktiviti mendaki gunung perlu menilai tahap kecergasan dan kemampuan fizikal kanak-kanak tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, aktiviti mendaki bersama kanak-kanak tidak perlu dihalang, sebaliknya faktor usia dan tahap kesihatan perlu diberikan perhatian serius.
“Bergantung kepada keadaan. Kalau bawa (anak) yang usia empat atau lima tahun, janganlah. Tetapi kalau anak itu cergas dan kita tahu keupayaannya, tiada masalah. Saya rasa ia bukan sesuatu yang perlu dihalang,” katanya ketika ditemui.
Beliau mengulas mengenai insiden enam pendaki termasuk dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Gerah, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.
Menurut beliau, setiap pendaki tanpa mengira usia perlu mengetahui kemampuan diri sendiri sebelum melakukan pendakian, lebih-lebih lagi laluan yang mencabar.
NOR HISHAM“Apabila mendaki, kita perlu tahu keupayaan diri. Dalam kes ini, apabila mereka pergi ‘trans’, ia memang sangat mencabar, tetapi yang paling kuat adalah mental. Kalau mental tidak kuat, memang susah mendaki gunung,” katanya.
Dalam kes itu, beliau berpandangan ibu bapa kanak-kanak tersebut membuat penilaian sewajarnya kerana mereka bukan pendaki baharu, malah kerap melakukan aktiviti tersebut.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan enam individu termasuk dua kanak-kanak yang terputus hubungan ketika mendaki Gunung Gerah pada 29 Ogos lalu ditemui selamat pada 7 September lepas.
Kumpulan itu sepatutnya keluar pada 3 September, namun gagal dihubungi sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan. Kesemua mangsa ditemui di Kem Sungai Salu tanpa sebarang kecederaan.

1 day ago
10












































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)



