Jerebu Sarawak: Sekolah di Serian, Lubok Antu kekal ‘tutup’

14 hours ago 8

PETALING JAYA – Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak akan kembali beroperasi seperti biasa mulai Isnin ini selepas keadaan jerebu menunjukkan perkembangan lebih baik.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan berterusan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) serta laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menurutnya, pembukaan semula melibatkan sekolah di bawah PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Sri Aman, Kanowit, Julau, Meradong, Bintulu dan Tatau/Sebauh.

“Semua sekolah menengah dan sekolah rendah di bawah seliaan 12 PPD berkenaan akan beroperasi seperti sedia kala mulai 14 September 2026 (Isnin),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, sekolah di bawah PPD Serian dan PPD Lubok Antu masih ditutup sementara sehingga kedua-dua daerah merekodkan bacaan IPU di bawah 200.

JPN Sarawak berkata, sekolah juga diarahkan menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100.

“Jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada di kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta.

“Jika bacaan IPU melebihi 500, guru dan kakitangan sekolah tidak perlu hadir ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengagihkan pelitup muka kepada murid, guru dan kakitangan sekolah yang dikenal pasti terjejas teruk akibat jerebu dalam masa terdekat.

JPN Sarawak turut menasihatkan murid memakai pelitup muka, minum air secukupnya selain meminta sekolah memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi serta memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas atau jerebu.

Pada masa sama, ibu bapa atau penjaga dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan mereka susulan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa lokasi di Sarawak dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |