LUMUT – Kerugian sehingga mencecah RM300,000 pada tahun pertama mengusahakan ternakan kerang menjadi satu pengalaman berharga bagi seorang usahawan di Sungai Tiram, Lekir di Sitiawan dekat sini.
Menurut Pengurus Projek Kebun Kerang Lekir, Saidin Kornain, pengalaman tersebut dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus mengusahakan perniagaan berkenaan sehinggalah kini, ia mampu mengeluarkan 290 metrik tan kerang sebulan.
Katanya, perniagaan di kawasan seluas 21 hektar tersebut bermula sejak Oktober 2020 setelah permohonannya kepada Jabatan Perikanan bagi projek ternakan kerang pada Jun 2018 diluluskan pihak berkenaan.
“Projek ini diusahakan bersama-sama dengan tujuh lagi nelayan berdaftar, dengan modal RM300,000 dikeluarkan bagi kami mengusahakan ternakan kerang di Sungai Tiram.
“Memandangkan, kami masing-masing masih tiada berpengalaman yang mencukupi dalam bidang ini, banyak benih kerang tidak menjadi dan kerugian RM300,000 ditanggung pada 2021,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Saidin berkata, walaupun begitu, mereka masih lagi mampu menjual 40 metrik tan kerang dengan pendapatan diperoleh ketika itu mencecah RM100,000.
Berbekalkan pendapatan tersebut, katanya, mereka terus menjalankan projek ternakan kerang dan menambah baik operasi.
“Alhamdulillah, pada tahun berikutnya dan 2023 kami berupaya menjual 80 metrik tan kerang, dan ia terus meningkat kepada 200 metrik tan (2024) dan rekod kami pada tahun lalu adalah sebanyak 290 metrik tan kerang.
“Saya sangat bersyukur kerana usaha gigih kami kini membuahkan hasilnya dan kami berkongsi rezeki ini bersama 12 pekerja bagi projek ini,” katanya.
Saidin menjelaskan, perniagaannya itu kini mengeluarkan kira-kira 1.4 metrik tan kerang sehari yang dijual kepada seorang peraih untuk di bawa ke pusat pengumpulan kerang di Taiping.
Jelasnya, kerang itu kemudiannya dijual ke seluruh Semenanjung Malaysia terutamanya di Kedah.
Dia yang berpengalaman sebagai nelayan sejak 1999 berkata, bukan mudah mahu mengusahakan ternakan kerang kerana banyak cabaran perlu ditempuhinya seperti kecurian dan perubahan cuaca,” katanya.
Sementara itu, Ketua Daerah Perikanan Manjung, Syed Amiruddin Syed Shuhaini berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan kepada Saidin dan rakan niaganya bertujuan untuk memperkukuh ekonomi biru di negeri ini.
Katanya, peranan dimainkan Jabatan Perikanan Perak selari dengan flagship Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad. -KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3



![[VIDEO] ‘Banjir kilat di Cameron Highlands, lebih baik tangguh dulu naik’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/cameron-highlands-banjir.jpeg)














![[VIDEO] Zoo Negara dilanda banjir, badak air ‘berenang’ dalam kandang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-11-at-11.06.13-AM.jpeg)

























![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)



