JOHOR BAHRU – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menetapkan zakat fitrah bagi tahun 2026 bersamaan 1447H di negeri ini pada tiga kadar bermula RM8, RM10 dan RM20.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, pengumuman tiga kadar pembayaran zakat fitrah di Johor berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri ini.
Menurutnya, kadar diambil kira mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.
“RM8 dikhususkan kepada umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super tempatan, kadar ini naik RM1, manakala RM10 bagi mereka yang menjadikan makanan hariannya beras import, turun RM2 berbanding tahun lalu.
“RM20 pula kepada umat Islam di negeri Johor yang menjadikan makanan hariannya beras Super Wangi dan beras Basmathi adalah kekal.
“Bagaimanapun, rakyat yang menjadikan beras jenis super tempatan sebagai makanan harian, namun terpaksa membeli beras import berikutan tiada bekalan di pasaran boleh membayar pada kadar lebih rendah iaitu RM8,” katanya.
Beliau berkata demikiann ketika sidang akhbar selepas Majlis Amanat 2026 di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Fared berkata, seramai 1,672 amil telah dilantik dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut fitrah di Johor.
“Pembayaran zakat fitrah boleh ditunaikan menerusi tiga cara iaitu menerusi pembayaran secara atas talian dan aplikasi TULUS, atau terus ke kaunter MAINJ di setiap cawangan atau daerah, atau boleh membayar kepada amil dilantik.
“Umat Islam digalakkan menunaikan zakat fitrah pada awal Ramadan bagi membolehkan agihan kepada fakir dan miskin disempurnakan sebelum hari raya,” tambahnya.
Ujarnya, MAINJ mengunjurkan RM27.32 juta pungutan zakat fitrah yang dikutip membabitkan 2.29 juta umat Islam di negeri ini.
“Pengiraan unjuran ini mengambil kira keadaan ekonomi pada waktu ini, iaitu dengan mengambil 29 peratus adalah pembayar bayar bagi RM8 dan 47 peratus bagi pembayar RM10 serta 25 peratus adalah pembayar bagi RM20,” katanya.-KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3

















































