JPJ panggil pengurusan tertinggi KDEB Waste Management

9 hours ago 4

KUALA LANGAT – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memanggil pengurusan tertinggi KDEB Waste Management (KDEBWM) dalam masa terdekat susulan pelbagai kesalahan dikesan pada lori sampah milik syarikat itu di seluruh Selangor.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ini termasuk dalam memberikan amaran agar KDEBWM melakukan tindakan segera dalam memperbetulkan kesalahan dilakukan lori sampah mereka.

Katanya, perkara itu turut dibincangkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook kelmarin bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana kenderaan KDEBWM yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya.

“Saya telah arahkan Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan untuk memastikan mana-mana lori sampah KDEBWM yang bermasalah ditahan dan disita di atas jalan raya.

“Kita mahu beri mesej jelas bahawa walaupun syarikat itu milik kerajaan negeri, kenderaan mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berada di atas jalan raya tanpa mematuhi undang-undang,” katanya pada sidang pada sidang akhbar sempena Ops Khas JPJ di Stesen Penguatkuasa Banting, malam tadi.

Menurut Aedly Fadly, sebanyak 22 lori sampah KDEB telah disita setakat semalam selepas didapati melakukan 154 kesalahan termasuk tiada insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta pemandu warga asing yang tidak mempunyai lesen.

Tambah beliau, JPJ mengakui KDEBWM sebelum ini menunjukkan komitmen baik apabila melunaskan lebih 22,000 saman tertunggak berjumlah RM3.1 juta.

“Kita puji inisiatif KDEBWM itu, namun masih terdapat kesalahan berulang dilakukan kontraktor di bawah syarikat itu,” tegasnya.

Kosmo! pada 25 Jun lalu melaporkan syarikat pengendali kenderaan barangan, KDEBWM mencatatkan saman aktif tertinggi berjumlah 22,017 diikuti Mainiza Mantap Sdn Bhd (5,108); Advancecon Machinery Sdn Bhd (3,620); VK Transport Sdn Bhd (3,016) dan Ng Swee Aik Trading Sdn. Bhd (2,352).

Susulan itu, Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Tahir memaklumkan akan melunaskan semua tunggakan itu dengan antara kesalahan banyak direkodkan adalah gagal patuh arahan pemeriksaan berkala. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |