Jodoh Pau Marti, FAM bakal berakhir

2 months ago 52

PETALING JAYA – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengesahkan tidak akan bersama skuad kebangsaan sejurus berakhir kempen Piala Asean 2024 bulan ini.

Menurut Pau Marti, perbincangan telah dibuat bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sesuai dengan penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Pau Marti mengesahkan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu akan dilantik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 mulai tahun depan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Piala Asean 2024 akan menjadi tugasan terakhir saya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

“Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula nanti, ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu akan dilantik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 mulai tahun depan.

“Adalah satu yang menyeronokkan untuk meneruskan perjalanan ini bersama-sama, kerana kami telah mengharungi tiga tahun yang menakjubkan di Malaysia yang dipenuhi dengan kenangan yang tidak dapat dilupakan.

“Saya mahu pemain, terutamanya prospek muda menikmati kejohanan ini dan suasana luar biasa di Bukit Jalil bersama penyokong kami dan mendapat sokongan mereka akan menjadi penghargaan terbesar kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, seramai 26 pemain telah dipanggil mewakili skuad kebangsaan dan menyertai kem latihan bermula hari ini sebelum berlepas ke Pnhom Penh, Kemboja esok.

Skuad Harimau Malaya yang diletakkan dalam Kumpulan A akan bertemu tuan rumah di Stadium Olimpik pada Ahad sebelum sebelum melayan kunjungan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil (11 Disember), Thailand (14 Disember) dan Singapura (20 Disember).

Difahamkan, penstrukturan baharu skuad kebangsaan akan didedahkan oleh FAM dalam satu sidang media khas dengan jangkaan pengendali import bakal dilantik menjadi ketua jurulatih baharu nanti. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |