Jika tiada ‘dealing’ awal, 2 lot tanah kerajaan negeri tak terlepas – Saksi

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, jika tiada ‘dealing’ (rundingan) awal antara Lim Guan Eng dengan dua ahli perniagaan, dua lot tanah milik kerajaan negeri tidak akan terlepas secara salah sehingga kerajaan Pulau Pinang mengalami kerugian.

Dua ahli perniagaan itu ialah Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan mendiang Datuk Ewe Swee Kheng.

Pegawai Penyiasat yang juga Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli berkata, dua lot tanah itu ialah 702 dan 713 yang terletak di Bandar Tanjung Pinang, Pulau Pinang.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, Lot 702 (lot tanah) tersebut sebenarnya telah dikenal pasti seawal tahun 2011 lagi. Melalui siasatan Datuk Ewe telah berjumpa dengan tertuduh (Guan Eng) pada tahun sama untuk bertanyakan mengenai tanah-tanah kerajaan yang boleh diteroka. Tertuduh memaklumkan pada beliau akan mencari satu projek negeri yang mana cara pembayarannya kepada kontraktor projek adalah melalui pertukaran tanah.

“Apa yang perlu Datuk Ewe lakukan adalah berurusan dengan kontraktor tersebut untuk menjual tanah pada syarikat Ewe dan jelas, inilah yang berlaku di dalam kes ini dimana lot 702 tersebut sememangnya diperolehi oleh Datuk Ewe,” kata saksi itu.

Pernyataan lanjut saksi itu mengatakan, berkaitan bayaran jualan tanah Lot 702, siasatan mendapati Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) telah menjual tanah tersebut kepada Ewein Zenith Sdn. Bhd. (EZSB) (syarikat milik Datuk Ewe) dengan harga jualan yang dipersetujui iaitu RM133 juta.

Mengikut perjanjian jual beli, EZSB perlu membayar kepada CZCSB 60 peratus dahulu dan baki 40% akan dibayar selepas pembangunan di atas tanah siap iaitu City Of Dream (COD).

Sementara itu saksi turut menyatakan pada 6 Oktober 2013, perjanjian awal untuk projek pembinaan 3 jalan utama dan terowong Pulau Pinang ditandatangani antara kerajaan negeri yang diwakili Guan Eng dengan Datuk Zarul.

Ia yang mana dalam perjanjian awal projek dimulakan dengan kajian kebolehlaksanaan bernilai RM305.8 juta dan sebagai bayaran sebahagian dari dua lot tanah iaitu lot 702 atau 713, Bandar Tanjung Pinang ditawarkan.

“Saya juga mengambil kira pada peringkat kajian pembinaan (FSS) untuk projek Terowong langsung tidak disiapkan tetapi adalah menjadi suatu fakta bahawa syarikat Datuk Zarul memang memperolehi Lot 702 dan 713,” kata saksi itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung lagi pada 29 Oktober ini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta.

Ia dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.34 juta antara Januari 2011 hingga Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua pula, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan berhampiran sebuah hotel, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 2 pagi pada Mac 2011.

Selain itu, beliau turut berdepan dengan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, di Bangunan Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |