SEPANG – Kertas syor pembatalan lesen syarikat pengendali perkhidmatan umrah yang menyebabkan seramai 36 jemaah terkandas di Tanah Suci baru-baru ini dilaporkan sedang dimuktamadkan untuk pertimbangan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
Selain itu, Motac berkata, hasil siasatan awal mendapati premis syarikat terlibat juga tidak lagi beroperasi selain terdapat beberapa pelanggaran serius di bawah Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992.
“Berikutan itu, Motac telah menjalankan penggeledahan, merakam percakapan pihak syarikat dan jemaah yang terlibat serta membuka kertas siasatan.
“Kertas syor pembatalan lesen syarikat juga sedang dimuktamadkan untuk pertimbangan pengurusan tertinggi Motac,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda sebelum ini dilaporkan hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali.
Keadaan itu berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempatan awal hingga menyebabkan kumpulan berkenaan gagal pulang ke Malaysia mengikut jadual ditetapkan.
Mengulas lanjut, Motac berkata, insiden itu turut membuktikan masih terdapat pengusaha yang mengambil kesempatan atas kepercayaan masyarakat.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang menipu, mengabaikan kebajikan jemaah atau merosakkan reputasi negara.
“Dari tahun 2023 hingga Oktober 2025, Motac telah melaksanakan 64 operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan penggantungan dan pembatalan lesen terhadap agensi yang melanggar undang-undang.
“Dalam tempoh tersebut, empat lesen agensi pelancongan telah digantung, manakala dua lesen telah dibatalkan,” katanya.
Katanya, sejak tahun lalu, Motac telah mengumumkan hasrat untuk melaksanakan kewajipan Bank Guarantee sebagai syarat utama pelesenan agensi pelancongan, khususnya pengendali pakej umrah.
“Insiden yang berlaku itu membuktikan bahawa langkah ini bukan sahaja wajar, malah semakin mendesak untuk dilaksanakan demi melindungi jemaah dan pengguna,” katanya. – KOSMO! ONLINE

23 hours ago
7

















































