JDT raih laba mewah di ACLE

3 weeks ago 16

KEPUTUSAN Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk berbelanja mewah pada kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) ternyata berbaloi selepas membolot hadiah wang tunai mencecah RM6.2 juta selepas layak ke pusingan 16 terbaik musim ini.

Skuad Harimau Selatan yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga saingan ACLE zon timur berjaya meraih RM444,000 sebagai hadiah kemenangan menewaskan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa lepas.

Selain itu, kantung poket skuad kendalian Hector Bidoglio juga semakin bertambah selepas kemaraan ke pusingan kalah mati menyaksikan JDT mendapat ganjaran RM889,000.

Pada awal musim ini, JDT menerima ganjaran awal sebanyak RM3.5 juta selepas layak bersaing pada kejohanan berprestij Asia buat musim keenam berturut-turut.

Setiap kemenangan di peringkat kumpulan membolehkan mereka mendapat wang ganjaran RM444,000 dan JDT berjaya meraih empat kemenangan dengan menewaskan Pohang, Central Coast Mariners, Ulsan HD dan Shanghai Shenhua pada musim ini.

Jumlah ini tidak termasuk subsidi perjalanan sebanyak RM222,000 yang diberikan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada semua pasukan yang bertanding sepanjang kempen ACLE kali ini.

Pada aksi pusingan 16 terbaik nanti, JDT akan menentang kelab gergasi Thailand, Buriram United dan bakal membawa tambahan tunai sebanyak RM1.7 juta sekiranya layak ke suku akhir.

Sebagai rekod, ini kali kedua JDT mara ke pusingan 16 terbaik kejohanan berprestij itu selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2022 sebelum tewas kepada jaguh Jepun, Urawa Red Diamonds.

Juara saingan ACLE musim ini akan menerima RM44 juta sementara naib juara membawa pulang RM17 juta.

Perlawanan pertama pusingan 16 dijadualkan berlangsung bermula 4 atau 5 Mac depan manakala aksi timbal balik bakal diadakan seminggu kemudian iaitu pada 11 atau 12 Mac.

Read Entire Article
Pertanian | | | |