JBPM, enam entiti kongsi kepakaran keselamatan bangunan tinggi

3 weeks ago 15

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menubuhkan Majlis Bangunan Super Tinggi Malaysia bersama enam entiti bagi menyumbang kepakaran isu keselamatan dan kebakaran membabitkan bangunan tinggi di negara ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pada Disember tahun lalu JBPM telah menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara enam entiti utama yang dikategorikan sebagai bangunan super tinggi di Malaysia.

Enam entiti tersebut adalah Menara Merdeka 118, Menara Exchange 106, Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Four Season Palace Kuala Lumpur dan Menara Telekom.

“Apabila telah didaftarkan, kita akan menggunakan platform Super Tall Building ini untuk membolehkan kita melaksanakan inisiatif-inisiatif ini terhadap bangunan-bangunan yang kita dapati mempunyai kriteria-kriteria kritikal untuk melepaskan diri semasa kecemasan.

“Antara perkara pertama yang kita akan berikan kekuatan ialah bagaimana kita melihat kepada kaedah untuk membolehkan operator ataupun pengendali bertauliah untuk lif kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kuala Lumpur di sini hari ini.

“Kita harap usaha ini akan membuat satu perubahan yang besar khususnya dengan membolehkan pengosongan bangunan ataupun program melepaskan diri daripada bangunan menggunakan lif kecemasan ataupun lif ketika mod kebakaran.

“Berdasarkan pada statistik, terdapat 293 bangunan sekarang yang lebih daripada 150 meter, 67 buah bangunan lebih 200 meter dan enam buah bangunan super tinggi dengan lebih 300 meter, menjadikan keseluruhan bangunan yang kita kategorikan dalam inisiatif yang kita akan buat ini ialah sebanyak 366 bangunan yang telah beroperasi di Malaysia,” katanya.

Katanya, pada tahun ini JBPM telah menetapkan sasaran daripada 2,300 jangkaan program menghapus bahaya kebakaran yang akan dibuat di Kuala Lumpur, 1,000 daripadanya akan ditumpukan kepada bangunan penginapan.

“Ini kerana 40 peratus kebakaran dilaporkan membabitkan rumah kediaman. Jadi, tumpuan kita adalah bangunan tinggi dan rumah kediaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |