‘Jangan cepat hukum, pendidikan tak boleh sampai cara begitu’

23 hours ago 4

PETALING JAYA – Pempengaruh kesihatan dan doktor perubatan, Dr. Afif Mohd. Ridzwan, tampil mempertahankan penyanyi Baby Shima susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh laman Facebook berkaitan kesihatan, Public Health Malaysia (PHM) berkaitan lirik lagu Masuk Lagi yang didakwa membawa maksud ‘double meaning’.

Menurut Dr. Afif, walaupun beliau amat menghormati peranan PHM sebagai platform pendidikan kesihatan awam, pendekatan yang digunakan dalam isu ini disifatkan sebagai tidak seimbang dan berpotensi menjejaskan reputasi individu tanpa proses penilaian yang adil.

“Ini pendapat saya secara peribadi sebagai seorang doktor. Dalam masa yang sama, saya amat menghormati peranan PHM yang saya kira sangat bagus.

“Cuma dalam isu ini, saya berpendapat kesihatan awam memang melibatkan aspek psikososial dan moral masyarakat. Namun, pendidikan tidak boleh disampaikan dengan cara yang terus menghukum, apatah lagi apabila hanya satu sudut tafsiran diketengahkan,” katanya.

Dr. Afif menegaskan bahawa menilai sesebuah karya seni berdasarkan tafsiran tersirat semata-mata tanpa mengambil kira konteks penuh, niat komposer dan penjelasan artis adalah tidak adil.

“Dalam kes Baby Shima, penilaian dibuat seolah-olah maksud tersirat itu sudah pasti bersifat seksual, sedangkan artis sendiri pernah menjelaskan mesej sebenar lagu tersebut berkaitan wanita yang menunggu kekasih masuk meminang. Kenapa penjelasan ini langsung tidak diambil kira?” soalnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan tafsiran dalam seni adalah perkara subjektif, dan menjadikannya sebagai asas untuk melabel kandungan sebagai ‘menjijikkan’ adalah tidak adil kepada Baby Shima mahupun orang awam.

“Kesedaran tidak sama dengan penghakiman. Pendidikan bukan memberi label. Apabila sebuah platform kesihatan menyebut nama artis, masyarakat akan melihat seolah-olah artis itu sudah bersalah, walhal tiada sebarang keputusan undang-undang dibuat,” jelasnya.

Terdahulu, menerusi Facebook, Public Health Malaysia (PHM) mengeluarkan kenyataan mengenai lirik lagu Baby Shima, Masuk Lagi yang didakwa mempunyai unsur makna berbaur lucah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |